25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Banjir: Jambatan Bailey dibina segera di Felda Selancar

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JAMBATAN Bailey akan dibina di Felda Selancar, Rompin, Pahang, selepas laluan utama ke kawasan tanah rancangan terbabit runtuh awal pagi tadi akibat banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyediakan peruntukan bagi membina jambatan berkenaan.

Menurutnya, beliau telah menghubungi Panglima Tentera Darat untuk menghantar Kor Jurutera DiRaja Angkatan Tentera Darat ke tempat kejadian dan segera membina Jambatan Bailey (Bailey Bridge) bagi menghubungkan laluan jalan yang terputus dalam tempoh siap sekitar 48-72jam.

“Ini adalah langkah sementara bagi memastikan laluan ini dapat digunakan semula sebelum jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) nanti.

“Oleh kerana hujan berterusan selama beberapa hari ini, saya amat berharap untuk penduduk yang berada di kawasan-kawasan yang terdedah banjir untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, sebaik dimaklumkan beberapa kawasan yang dilanda banjir, Ahmad Zahid bersama Ketua Pengarah NADMA dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus ke Rompin, Pahang bagi meninjau keadaan jalan yang terputus dan melihat keadaan banjir di sekitarnya.

Advertisements

Menurut beliau, ribuan penduduk terjejas akibat terputus hubungan di Felda Selancar, Rompin.

“Jalan ini merupakan jalan utama yang menghubungkan penduduk sini untuk ke serata Negeri Pahang dan Johor,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan hujan lebat dan tanpa henti sejak semalam menyebabkan lebih 4,000 penduduk di Felda Selancar di sini terputus hubungan selepas laluan utama ke kawasan tanah rancangan itu runtuh awal pagi hari ini.

Hujan lebat turut menyebabkan laluan alternatif ke kawasan yang mempunyai kira-kira 10 tanah rancangan itu ditenggelami air dan tidak dapat dilalui semua kenderaan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan