26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Anwar saman Ahli Parlimen Pendang

Awang dikatakan mengeluarkan kenyataan fitnah apabila mendakwa sikap pendendam Perdana Menteri berhubung pendakwaan terpilih.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, yang didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap dirinya.

Saman itu difailkan oleh Anwar, 75, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menerusi Tetuan SN Nair & Partners selaku plaintif dengan menamakan Awang sebagai defendan tunggal.

Awang dikatakan mengeluarkan kenyataan fitnah apabila mendakwa sikap pendendam Perdana Menteri berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Ahli Parlimen Tambun itu mendakwa defendan sengaja memfitnah walaupun beliau sudah menafikan secara terbuka dan pada realitinya tidak mencampuri tugas serta kuasa agensi penguatkuasaan dan Jabatan Peguam Negara.

Oleh itu, katanya, dakwaan penyiasatan, penguatkuasaan dan pendakwaan terpilih tidak mempunyai kebenaran, palsu, tidak berasas serta berniat jahat.

Anwar berkata, defendan menyedari sepenuhnya komitmen plaintif yang dibuat kepada masyarakat umum beberapa kali mengenai hasrat dalam membasmi rasuah dan sokongan penuh terhadap kebebasan institusi penyiasatan, pendakwaan serta badan kehakiman.

“Defendan dengan sengaja berniat mencaci dan secara palsu menuduh plaintif mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan terpilih yang adalah satu kesalahan serius, sekali gus menjadikan impak dan kesan fitnah lebih teruk.

Advertisements

“Defendan menyedari sepenuhnya perkataan fitnah akan diterbitkan di seluruh Malaysia dan dunia yang akan memburukkan lagi kerosakan kepada reputasi plaintif.

“Defendan masih mempunyai keangkuhan dengan menunjukkan sikap menentang secara terang-terangan dan tidak bertaubat apabila dengan sewenang-wenangnya dan tidak senonoh mengungkapkan atau mengulangi sebahagian kandungan fitnah.

“Defendan sewenang-wenangnya sekali lagi dan secara provokatif membangkitkan skandal dengan memanggil plaintif ‘bapa saman negara’ dalam sidang Parlimen pada 27 Februari lalu,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Awang dilaporkan membuat kenyataan berhubung pendakwaan terpilih itu ketika ditemui media di lobi Parlimen pada 21 Februari lalu.

Dengan merujuk pendakwaan terhadap bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta, Awang dilaporkan mendakwa ia adalah permulaan daripada tindakan Perdana Menteri.

Anwar berkata, firma guamannya menuntut defendan menarik balik kenyataan fitnah, memohon maaf, berjanji tidak mengulanginya dan membayar ganti rugi kepada plaintif pada 21, 24 serta 28 Februari lalu.

Bagaimanapun, defendan menerusi surat peguamnya pada 27 Februari dan 2 Mac lalu menyangkal tuntutan plaintif.

Advertisements

Terkini

Pemuda UMNO gesa ‘haramkan’ Prof Gilley masuk Malaysia

PEMUDA UMNO Malaysia hari ini mendesak kerajaan mengharamkan seorang ahli akademik pro-zionis Israel, Bruce Gilley daripada memasuki negara ini. Ketuanya,...

Lagi Artikel Berkaitan