30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

14,249 naskhah al-Quran tiada perakuan KDN dirampas

Naskhah dirampas kerana antaranya ayat tidak sempurna, kesilapan pada titik dan baris, tidak mengikut resam Uthmani.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 14,249 naskhah al-Quran yang tiada perakuan bernilai RM325,571 dirampas Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (PK KDN) menerusi Op Mulia sejak Februari lalu.

Setiausaha Bahagian PK KDN, Nik Yusaimi Yusoff berkata, semua naskhah al-Quran yang dirampas bermula Januari itu hasil serbuan yang dilakukan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kedah.

“Hasil risikan yang dilakukan mendapati, sebahagian besar al-Quran yang dirampas adalah menerusi jualan di platform sosial media termasuk e-dagang yang kini mempunyai capaian pasaran yang sangat luas.

“Antara sebab naskhah dirampas adalah kerana ayat tidak sempurna, kesilapan pada titik dan baris, tidak mengikut resam Uthmani serta nama surah dan juzuk yang tidak jelas,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPQ) hari ini.

Mengulas lanjut Nik Yusaimi berkata, hasil risikan terhadap laman e-dagang, penjualan naskhah al-Quran yang tiada perakuan KDN didapati masih berleluasa.

“Sehubungan dengan itu, kita sedang menjejaki beberapa pihak penjual e-dagang dikesan menjual al-Quran tiada perakuan KDN yang beroperasi di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Sabah.

“Hasil siasatan mendapati ada yang menjual al-Quran dibawa masuk dari negara jiran, justeru ini boleh menimbulkan syubhah (was-was),”katanya.

Nik Yusaimi berkata, teks dan bahan al-Quran yang memperoleh perakuan LPPPQ selepas mendapat syor Lajnah Tasheh al-Quran, mempunyai dua elemen tanda perakuan KDN, iaitu cap perakuan LPPPQ serta pelekat hologram.

“Ia mesti mempunyai cap perakuan LPPPQ tertera di dalam naskhah, manakala pelekat hologram dilekatkan pada kulit naskhah,”katanya.

Justeru, beliau berkata, bahagiannya akan terus melakukan risikan dan operasi berterusan bagi membanteras penjualan dan pengedaran naskhah serta bahan al-Quran yang tidak diperakukan KDN.

Mengulas mengenai keputusan hasil mesyuarat LPPQ, Nik Yusaimi berkata, mesyuarat memutuskan untuk membatalkan satu lesen mencetak al-Quran di Pulau Pinang kerana tidak lagi aktif mencetak naskhah itu.

“Selain itu, mesyuarat turut meluluskan empat pruf akhir teks al-Quran, lima lulus dengan pembetulan dan dua ditolak.

“Mesyuarat juga meluluskan pemuliaan (pelupusan) terhadap 1,988 naskhah teks al-Quran dan 20,675 unit bahan al-Quran di enam negeri iaitu Selangor, Kelantan, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Kedah,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan