TABUNG Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) untuk gempa bumi Turkiye-Syria diaktifkan bermula hari ini hingga 23 Februari ini.
Menurut Kementerian Luar, pihaknya melancarkan kempen sumbangan kemanusiaan melalui TBKNL itu bagi meringankan beban mangsa bencana Turkiye, Syria serta negara berdekatan.
“Atas keprihatinan dan semangat Malaysia Madani, usaha murni ini diteruskan lagi dengan mengumpul dana sumbangan kemanusiaan bagi membantu mangsa gempa bumi yang terkesan.
“Sehubungan itu, kementerian mengalu-alukan orang ramai, badan korporat dan perniagaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan sumbangan melalui TBKLN,” katanya.
Segala sumbangan boleh dibuat menerusi akaun bank, Affin Islamic Bank Berhad (1054 9000 0599).
Penyumbang perlu menyatakan butiran sumbangan melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen atau mengimbas kod QR di bawah bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit.
Sumbangan layak membuat tuntutan potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
TBKLN yang ditubuhkan pada 2006 bertujuan mengumpul serta menyelaras sumbangan orang awam di Malaysia bagi membantu mangsa bencana alam di luar negara. – Edisi 9