30 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 23, 2024

Kontraktor kecil disaran bina kualiti agar lebih kompetitif

Selaras dengan gelombang revolusi industri keempat yang dijangka akan mengubah landskap industri pembinaan di Malaysia.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SYARIKAT kontraktor terutamanya kontraktor kecil G1-G3 disarankan supaya membina dan meningkatkan kualiti serta keupayaan perkhidmatan agar lebih kompetitif dan berdaya saing.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini selaras dengan gelombang revolusi industri keempat yang dijangka akan mengubah landskap industri pembinaan di Malaysia.

Beliau berkata, penyertaan Malaysia sebagai anggota strategik dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang berkuat kuasa pada 29 Nov 2022 akan membuka lebih peluang kepada syarikat pembinaan untuk memperolehi projek pembinaan di peringkat antarabangsa.

“Walaupun terdapat pihak yang meluahkan kebimbangan perihal kebebasan kemasukan syarikat pembinaan luar dalam perolehan kontrak kerajaan yang dilihat akan menyekat rezeki syarikat tempatan, saya berpandangan sebaliknya.

“Kita harus berfikiran lebih terbuka dan mencari peluang yang boleh disambut daripada menganggapnya sebagai halangan dan mencetuskan keresahan,” katanya dalam sesi Townhall bersama kontraktor G1-G3 di Kementerian Kerja Raya hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya Dato’ Zaharul Hakim Abdullah, Ketua Eksekutif Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi Hassan.

Ujar beliau, kemasukan syarikat dari luar negara akan membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk turut terlibat dalam rantaian perdagangan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Syarikat berskala besar ini memerlukan sokongan daripada syarikat tempatan seperti bekalan bahan mentah dan tenaga kerja.

Advertisements

“Peluang pekerjaan yang wujud ini secara tidak langsung akan membantu merangsang pembangunan kontraktor kecil dan sederhana terutamanya.

“Oleh itu, syarikat tempatan harus bijak mengambil peluang ini yang boleh memberi manfaat kepada syarikat mereka,” katanya.

Pada masa sama, Alexander turut mengingatkan agar kontraktor tidak boleh terus terperangkap dengan bergantung harap ke atas tawaran kontrak kerajaan semata-mata.

“Oleh itu, saya amat berharap perkongsian pengalaman dan idea yang bernas diberikan pada hari ini bagaimana kerajaan dapat membantu dalam merealisasikan keperluan anda semua untuk kekal relevan dan mampu bersaing dengan sihat dalam industri pembinaan.

“Walaupun saya mendengar khabar bahawa terdapat sesetengah pihak kontraktor kurang beretika dalam meraih kontrak kerajaan dan ada yang bertindak sebagai ‘Alibaba’ untuk mengaut keuntungan semata-mata, saya ingin menegaskan bahawa fokus saya bukanlah untuk mencari kesalahan tetapi ke arah pemerkasaan.

“Saya ingin melihat setiap daripada anda semua mampu membangunkan perniagaan anda, bersaing dengan sihat dan berkembang maju daripada G1 ke G2, G3, G4 dan seterusnya,” katanya.

Perjumpaan berkenaan adalah sebahagian usaha Kementerian sebagaimana konsep “industrial engagement” berinteraksi secara terus untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu dan cabaran yang dihadapi para kontraktor kecil dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan dan juga swasta.

Menerusi sesi berkenaan, kontraktor kecil dapat menyuarakan pandangan kepada Menteri Kerja dan juga ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mana mungkin saya berkomplot khianati parti UMNO – Nizar Najib

"MANA mungkin saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga saya perjuangkan bersama-sama orang UMNO yang lain sejak ia...

Lagi Artikel Berkaitan