28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Kedutaan asing tiada kuasa keluar pas lawatan sementara

Pengeluaran visa dan pas kepada warganegara asing untuk tinggal dan bekerja di Malaysia hanya boleh dikeluarkan oleh JIM sebagai pihak berkuasa.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEDUTAAN asing tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sebarang bentuk pas kepada rakyat mereka untuk menetap di negara ini walaupun untuk sementara.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pengeluaran visa dan pas kepada warganegara asing untuk tinggal dan bekerja di Malaysia hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen (JIM) sebagai pihak berkuasa.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa mana-mana pihak luar tiada hak untuk mencampuri urusan kedaulatan dan undang-undang negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul berkata demikian bagi mengulas kenyataan laporan media berhubung dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Migrant Care bahawa penempatan warga asing di Nilai Spring bukan haram.

Dalam laporan berkenaan Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia memberitahu warga asing yang ditahan dalam serbuan di lokasi berkenaan telah mendapat pas lawatan sementara dari pihak Indonesia yang sah selama setahun.

Pada operasi pada 1 Februari lalu seramai 67 warga Indonesia berusia lingkungan dua bulan hingga 72 tahun ditahan berikutan tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Hasil risikan mendapati penempatan berkenaan memiliki kemudahan sekolah menggunakan silibus pendidikan negara jiran selain dilengkapi beberapa set generator bagi membekalkan kemudahan elektrik.

Khairul Dzaimee berkata, semua yang ditahan dalam operasi bersepadu itu adalah pendatang tanpa izin (PATI) dan tiada mana-mana pihak yang boleh mempersoalkan kewajaran JIM melaksanakan operasi berkenaan kerana ia adalah tugas hakiki jabatan itu.

“Malah rakyat Malaysia juga dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa negara luar apabila mereka melanggar undang-undang Imigresen negara berkenaan.

“Justeru, semua pihak hendaklah menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan