25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

JIM tahan Datuk dan Datin ejen ‘maid’ haram

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan pasangan suami isteri bergelar Datuk dan Datin yang menjalankan kegiatan ejen Pembantu Rumah Asing (PRA) haram.

Mereka ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sebuah premis kediaman di Shah Alam, Selangor pada 16 Februari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi ini dijalankan hasil daripada maklumat aduan orang awam dan risikan JIM.

“Turut ditahan ialah seramai 13 orang wanita kesemuanya adalah warganegara Indonesia yang berumur 22 tahun hingga 47 tahun,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, katanya, siasatan awal mendapati mereka masuk ke negara ini dengan menyamar sebagai pelancong menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

“Lokasi serbuan merupakan rumah kediaman pasangan itu yang turut dijadikan tempat tinggal warganegara Indonesia tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati, warga Indonesia tersebut akan dibekalkan sebagai pembantu rumah dan juga pekerja pembersihan.

Advertisements

“Mereka akan dikenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,500 seorang sebagai bayaran perkhidmatan mengurus kemasukan yang akan dipotong melalui gaji bulanan.

“Dipercayai pasangan ini menjalankan aktiviti mengurus kemasukan dan pembekalan pembantu rumah secara haram bersama-sama ejen yang dikenali dari Indonesia,”katanya.

Menurutnya, Datuk yang berumur 66 tahun bersama pasangannya Datin yang berumur 56 tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen kerana disyaki membenarkan mana-mana Pendatang Tanpa Izin (PATI) memasuki atau tinggal di dalam premis yang ianya mempunyai kepentingan sebagai penyelia atau menguruskan atau mempunyai kawalan ke atas mana-mana premis tersebut.

“Manakala kesemua warga asing tersebut ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan-kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan juga kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Kes akan turut dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia berkait aktiviti pengambilan dan pembekalan pekerja yang dijalankan tanpa lesen yang sah,” katanya.

Ujar beliau, JIM sentiasa memantau aktiviti penawaran pembantu rumah asing dan pekerja pembersihan harian secara tidak sah ini termasuk di media-media sosial oleh individu atau ejen haram.

“Sehubungan dengan itu, JIM ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan aktiviti ini dan sentiasa merujuk kepada maklumat terkini dari JIM dan juga Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Jangan terjebak perjudian perhubungan cinta ekspres

Oleh DR NORSAFATUL AZNIN A. RAZAK DALAM era moden yang serba pantas ini, hubungan percintaan sering kali terbentuk dengan begitu...

Lagi Artikel Berkaitan