29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Istiadat pembukaan Parlimen, Belanjawan 2023 jadi tumpuan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 Isnin ini, yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, pada 19 Disember lepas telah diadakan persidangan Dewan Rakyat pertama di bawah Kerajaan Perpaduan selama dua hari, antara lain melibatkan pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, serta pembentangan bajet mini.

Menurut takwim di laman web Parlimen, persidangan kali ini yang berlangsung selama 29 hari tertumpu kepada perbahasan Titah Diraja bermula 15 Februari hingga 21 Februari serta pembentangan semula Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 oleh Anwar merangkap Menteri Kewangan, yang dijadual berlangsung pada 24 Februari.

Rang Undang-undang itu seterusnya akan dibahas di peringkat dasar selama enam hari bermula 27 Februari serta sesi jawapan menteri pada 8 Mac dan 9 Mac, sebelum disusuli perbahasan peringkat jawatankuasa pada 13 Mac hingga 28 Mac.

Anwar pada majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan pada 8 Februari lepas, dilaporkan berkata Belanjawan 2023 akan mengambil kira cabaran ekonomi semasa tetapi boleh memacu pertumbuhan negara, menarik pelaburan ke dalam negara serta memberi rahmah kepada rakyat.

Turut dijangka mencuri tumpuan adalah pembentangan kertas putih berkaitan perolehan dan kos pembelian vaksin COVID-19 yang didapati tidak mengikut prosedur sebelum ini.

Selain itu, Kertas Putih mengenai kes Batu Puteh turut dijangka dibentangkan untuk tindakan selanjutnya, disediakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Persidangan kali ini juga bakal menyaksikan pembaharuan termasuk sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) pada setiap Selasa yang dijalankan secara ujian rintis bermula 13 Februari.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung dari 13 Februari hingga 30 Mac.-BERNAMA

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan