28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Dewan Rakyat: Isu projek LCS jadi tumpuan hari ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

ISU projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan dasar bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, soalan berhubung langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam mengatasi isu projek LCS yang meruncing dan menjejaskan perancangan Transformasi 15-to-5 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), diajukan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) kepada Menteri Pertahanan pada sesi soal jawab.

Transformasi 15-to-5 TLDM merujuk kepada rancangan TLDM menyusun 15 buah kelas kapal yang sedia ada kepada lima.

Turut tersenarai, soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai dasar kementerian bagi menggalakkan penggunaan EV serta penambahan stesen pengecasan untuk EV di seluruh negara.

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) pula meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan sejauh mana Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bertindak sebagai pengawal kepada kebebasan media yang tiada had sempadan penyebaran terutama menerusi media elektronik.

Selain itu, beliau turut bertanyakan sama ada kerajaan berhasrat mengkaji semula akta berkaitan kebebasan media bagi menangani masalah pemberita tidak beretika seperti meletakkan tajuk artikel yang bercanggah dengan kandungannya.

Soalan mengenai pendigitalan perkhidmatan kerajaan pula akan diajukan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang meminta penjelasan Perdana Menteri berhubung perancangan dan garis masa kerajaan bagi inisiatif itu dilaksanakan sepenuhnya serta langkah kerajaan menjamin maklumat pengguna dalam aspek keselamatan siber.

Selesai sesi soal jawab, Ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian menyambung semula sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 29 hari bermula dari 13 Feb hingga 30 Mac. – BERNAMA

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan