ANAK sulung kepada bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid iaitu Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar menawarkan diri bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO.
Beliau yang juga suami artis terkenal Mira Filzah mengesahkan keputusan untuk bertanding itu ketika ditemui di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi membawa pembaharuan dalam parti selain mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya hantar borang untuk menawarkan diri sebagai Exco Pemuda UMNO. Allah jentik hati untuk cuba menawarkan perkhidmatan saya untuk parti UMNO ini.
“Saya mahu cuba bawa keyakinan semula kepada parti setelah apa yang berlaku pada PRU lepas,” katanya.
Dalam masa sama beliau turut berjanji akan menggunakan segala kudrat dan tenaga yang akan disumbangkan sepenuhnya kepada parti tersebut sekiranya diberi peluang menjawat jawatan itu.
“Mungkin saya nak cuba, macam mana saya boleh nak menawarkan khidmat kepada Pemuda UMNO.
“Lagi-lagi Undi 18 dan segalanya ini, mungkin ada pendekatan baru yang boleh digunakan untuk meraih undi pengundi pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, melihat kepada maklumbalas warganet di Facebook, rata-rata memberikan pandangan yang baik di atas keputusan Wan Emir.
Seorang warganet, Mohd Ikhwan Hakeem berkata, terbaik wajah baharu Pemuda.
Sementara Annalee Lysawani pula, Alhamdulillah, anda berkelayakan dan berpeluang untuk menang. – Edisi 9