26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

7 bot nelayan Vietnam dilupuskan di perairan Kuala Besar

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan melupuskan tujuh buah bot nelayan asing Vietnam yang telah dilucut hak oleh mahkamah secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan pada jarak 5.3 batu nautika daripada Kuala Besar, Kota Bharu semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, tiga daripada bot yang ditenggelamkan merupakan bot nelayan asing yang menggunakan nombor bot tempatan bagi mengaburi mata penguat kuasa.

“Kesemua bot yang dilupuskan merupakan antara yang ditahan dalam Op Naga Barat, Op Kuda Laut dan Op Damai pada tahun 2021.

“Penahanan tujuh bot ini turut melibatkan 58 kru termasuk tekong warga Vietnam dengan rampasan tujuh bot, 1,700 kilogram ikan pelbagai jenis, 1,300 kilogram ikan baja, 50 kilogram gamat, 150 kilogram sotong kering dan sejumlah 27,800 liter diesel termasuk peralatan navigasi serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM7.1 juta, “katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, kesemua kru termasuk tekong disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan dihukum di bawah Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.

“Nilai denda mahkamah bagi kesemua yang ditahan adalah berjumlah RM 12.5 juta namun kesemua kru bot dan tekong memilih untuk dipenjarakan antara lima hingga lapan bulan,” katanya.

Beliau berkata, untuk rekod, sejak tahun 2007 Maritim Negeri Kelantan telah berjaya melupuskan sebanyak 264 bot nelayan asing Vietnam dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 380 juta yang berjaya dikumpulkan.

“Proses penenggelaman bot ini mendapat kerjasama Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) di bawah Jabatan Perikanan Malaysia.

“Kesemua bot yang ditenggelamkan telah melalui proses pemilihan yang ketat sebelum diluluskan untuk ditenggelamkan.

“Ini untuk memastikan tiada sebarang pencemaran berlaku dan bot tidak mudah pecah dan lebih tahan lama untuk dijadikan tukun tiruan,” katanya.

Ujarnya, Maritim Negeri Kelantan sentiasa tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di perairan negeri Kelantan khususnya demi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan kedaulatan perairan negara terpelihara.

“Maritim Negeri Kelantan akan sentiasa berusaha memastikan perairan di negeri itu sentiasa selamat kepada komuniti maritim,” katanya.

Sebarang maklumat berkenaan penguatkuasaan dan CARILAMAT, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – Edisi 9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan