PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan lima individu yang akan menganggotai badan penasihat khas bagi membantu menasihati beliau selaku Menteri Kewangan.
Anwar berkata, badan penasihat khas itu terdiri daripada golongan profesional serta pakar ekonomi dan akan diketuai oleh Penasihat Petronas, Tan Sri Hassan Marican.
Menurut beliau, selain Tan Sri Hassan, badan penasihat khas ini akan dianggotai oleh Pengerusi Eksekutif FVSB Sdn Bhd, Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng dan Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Datuk Prof Ulung Rajah Rasiah.
“Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Anwar mengulangi pendirian bahawa badan penasihat khas yang dilantik itu tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan.
Terdahulu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri.
Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagi jawatan berkenaan berkuat kuasa 3 Januari lalu.
-EDISI9