28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pemilihan UMNO: Zahid serah kepada perwakilan

Berhubung pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan sama ada dua jawatan tertinggi parti perlu dipertandingkan atau sebalilknya pada pemilihan sebelum 19 Mei ini.

Beliau berkata, pelbagai pandangan telah dilontarkan berhubung perkara itu namun beliau yakin para perwakilan UMNO sudah cukup matang untuk membuat penilaian sesuai dengan proses demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini (Presiden dan Timbalan Presiden) tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan.

“Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya.

“Namun, saya yakin ahli-ahli UMNO boleh menilai yang mana kaca, yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam.

“Bak kata orang muda, yang mana ori (tulen) yang mana fake (palsu),” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu sebelum ini terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan akan datang.

Semalam, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tabik dengan keberanian Zahid yang bersedia menyahut cabaran untuk berdepan dengan pertandingan jawatan Presiden UMNO.

Dalam satu perkongsian video di TikTok, Khairy memberitahu, Zahid telah menyatakan sendiri yang beliau sedia untuk ‘berlawan’.

Pada pemilihan yang diadakan pada 2018, Zahid dipilih sebagai Presiden setelah menewaskan dua pencabarnya iaitu Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah dengan memperoleh 93 undi berbanding Khairy (51) dan Tengku Razaleigh (23). – Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan