SEORANG remaja Orang Asli maut diserang gajah liar dalam kejadian di Kampung Tual, Pos Sinderut di Lipis, Pahang.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Andy Yok Manin, 15, ingin mencari durian.
Menurut Ketua Polis Daerah, Superitenden Azli Mohd. Noor, pihaknya menerima maklumat pada pukul 4.30 petang daripada Tok Batin Kampung Tual yang menyatakan terdapat kematian seorang lelaki di kampung tersebut kerana diserang gajah.
“Mangsa diserang oleh seekor gajah semasa bersama ahli keluarganya berada dalam kawasan kebun durian di Kampung Tual.
“Serangan gajah liar dipercayai bermula dari Kampung Regang yang menyebabkan haiwan tersebut dihalau oleh orang kampung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Azli, gajah liar berkenaan kemudiannya lari menghala ke kawasan kebun durian Kampung Tual lokasi mangsa berada
Menurutnya, selepas serangan itu, keluarga mangsa bertindak membawanya pulang ke rumah sebelum disahkan meninggal dunia.
“Anggota balai polis Sungai Koyan membawa mangsa ke unit forensik Hospital Kuala Lipis untuk prosed bedah siasat,” katanya.
-EDISI9