25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

HQE-2 jalani pembedahan otak secara sedar pertama di Sabah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

HOSPITAL Queen Elizabeth II (HQE-2), Kota Kinabalu dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melakukan pembedahan otak yang pertama di negeri ini yang melibatkan seorang pesakit dalam keadaan sedar sepenuhnya.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata, pembedahan yang dikenali sebagai awake craniotomy itu selamat dijalankan selama enam jam pada 12 Januari lepas di Dewan Bedah HQE-2 membabitkan seorang pesakit wanita berumur 50 tahun. 

Menurutnya, pembedahan berkenaan hasil usaha Pakar Bedah Otak, Dr. M. Sofan Zenian dan Dr. Hezry Abu Hasan bersama Pakar Bius Otak dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Dr. Yeap Boon Tat, serta Pakar Perunding Kanan Pembedahan Otak dari Hospital Sungai Buloh, Dr. Liew Boon Seng.

“Pesakit menerima penerangan secara menyeluruh daripada pakar bedah dan pakar bius sebelum menyatakan keyakinan untuk menjalani pembedahan.

“Sepanjang pembedahan ini, pesakit dapat mengeja nama dan menyanyikan sebuah lagu ringkas dan selepas pembedahan, pesakit hanya mengalami gejala sakit kepala yang sedikit sahaja dan dibolehkan minum air dan makan hidangan lembut keesokan harinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Rose Nani berkata, pesakit mengalami simptom sakit kepala sejak Oktober 2022 dan disahkan menghidap multiple meningioma di bahagian kiri otak setelah didiagnosis di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.

Katanya, keadaan klinikal dan gejala yang dialami pesakit semakin teruk sehingga menjejaskan kualiti kehidupan pesakit tersebut.

Justeru, jelas beliau, keputusan untuk melakukan pembedahan otak menggunakan teknik awake craniotomy bertujuan merawat dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani kualiti kehidupan yang lebih baik.

Ujar Dr. Rose Nani lagi, menerusi pembedahan otak awake craniotomy, pesakit berada dalam keadaan sentiasa sedar sepanjang pembedahan.

Menurutnya, pakar bedah otak akan sentiasa memantau tahap kesedaran (consciousness) dan kecerdasan otak dari semasa ke semasa sepanjang pembedahan dijalankan.

“Ia penting agar pakar bedah otak dapat menilai sejauh mana keberkesanan pembedahan itu dan kesan sampingan yang mungkin timbul seperti pendarahan di dalam otak.

“Sehubungan itu, kerjasama erat di antara pakar bius otak (neuroanaesthesiologist) dan pakar saraf (neurologist) adalah diperlukan sepanjang pembedahan ini,” katanya.

Selain itu Dr Rose Nani berkata, teknik pembiusan secara sedar yang digunakan dalam pembedahan berkenaan juga adalah yang pertama kali dilakukan di negeri Sabah. 

Menurutnya, pakar bius otak akan memastikan ubat bius yang diberikan kepada pesakit adalah mencukupi dan tidak terlalu banyak sehingga pesakit tertidur nyenyak.

“Ubat yang diberikan memerlukan mesin khas yang dipanggil Target Controlled Infusion (TCI) yang menyukat kepekatan ubat di dalam darah pesakit.

“Pesakit yang menerima ubat bius dalam keadaan sedar ini akan boleh berkomunikasi dengan doktor sepanjang pembiusan,” katanya.

Beliau berkata, pembedahan otak awake craniotomy sudah diperkenalkan di dunia sejak awal 2000 lagi dan ia dimulakan di Malaysia seawal 2010 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan