24.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Mohamad harap NTF dapat dikembalikan

Perkara itu telah dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini untuk pertimbangan dan tindakan kerajaan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap National Task Force (NTF) yang dibubarkan pada 31 Disember lalu dapat ‘dikembalikan’ semula.

Ini kerana kata beliau, pelaksanaan NTF sebelum ini bersama beberapa agensi keselamatan lain dilihat banyak membantu dalam menjaga dan memperkukuhkan sempadan daripada sebarang ancaman termasuklah ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

Beliau berkata, perkara itu telah dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini untuk pertimbangan dan tindakan kerajaan.

“Selain menjayakan misi menyelamatkan mangsa banjir dan bencana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga membantu operasi menjamin keselamatan di sempadan negara dan diiktiraf apabila diberi kepercayaan menerajui taskforce bersama polis, maritim dan agensi keselamatan lain.

“Ini satu mesej jelas apabila NTF membawa keberkesanan mempertahankan keselamatan di sempadan negara dan terkawal.

“Malangnya NTF telah dibubarkan. Kita (MINDEF ) mencadangkan untuk dipertimbangkan semula dan dihidupkan semula NTF dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini,” katanya dalam amanat Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2023 di Auditorium Wisma Pertahanan pagi tadi, lapor Malaysia Gazette.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pelaksanaan Op Benteng di bawah NTF telah berjaya mengurangkan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan.

“Sepanjang operasi benteng dilaksanakan sebanyak 26,477 tangkapan, 4,415 rampasan kenderaan darat, bot dan kapal serta 4,314 pengusiran berjaya dibuat membabitkan nilai rampasan berjumlah RM1.09 bilion,”katanya.

Dalam pada itu, menerusi hantaran di Facebook, Mohamad turut menzahirkan Hala Tuju Kementerian Pertahanan bagi Tahun 2023 meliputi pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan (KPP) bagi tempoh 2021 – 2030.

Advertisements

Ia meliputi Penerbitan dokumen susulan bagi Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN), Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) dan Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN).

Pelaksanaan KPP juga turut disokong Pelan Strategik MINDEF 2021-2025.

Dalam amanat tersebut, Mohamad juga menekankan usaha MINDEF dan ATM membina keupayaan dan kapasiti dalam domain siber dan elektromagnetik.

Beliau berkata, agenda pembangunan sosioekonomi veteran ATM akan terus diperkasakan bagi membantu veteran.

“Dua aktiviti yang akan diberikan perhatian khusus ialah, Peluang Kerjaya Kedua serta Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM.

“Dalam pada itu, penjawat awam wajar untuk melestarikan kelangsungan amalan pembudayaan integriti di dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau turut menyerahkan Zakat Wakalah kepada 100 Warga Pertahanan.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang TUDM; Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan dan para Panglima Perkhidmatan serta para pegawai kanan awam dan ATM. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan