24.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Malaysia dapat kembali kuota asal 31,600 jemaah haji

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN Malaysia berjaya mendapatkan semula kuota rasmi jemaah haji yang pernah ditetapkan oleh Arab Saudi pada awal 2020 lalu untuk musim haji kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengumumkan bahawa kuota haji Malaysia yang diterima daripada kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 31,600 orang untuk 1444/2023.

Menurut beliau, keputusan itu diperoleh bersempena mesyuarat khas bersama Menteri Haji dan Umrah, Kerajaan Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabia di Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan oleh Kerajaan Arab Saudi, semalam.

“Di dalam mesyuarat tersebut, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah telah memuji negara Malaysia khususnya pihak Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.

“Saya telah memberikan penegasan bahawa TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah Haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Mohd. Na’im lagi, bagi pihak kerajaan Malaysia, beliau menzahirkan rasa amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi.

Advertisements

“Saya yakin penilaian telah dibuat dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal-bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin semasa menunaikan rukun Islam yang ke-lima.

“Saya ingin memohon kepada semua umat Islam dapat bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar mempermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan semoga pihak TH dapat menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan lancar.

Untuk rekod, Malaysia pada tahun lalu cuma menerima kuota sebanyak 14,306 orang iaitu 45 peratus sahaja daripada jumlah asal sejumlah 31,600 orang yang pernah ditetapkan pada 2020.

Ia susulan tindakan Arab Saudi terpaksa mengehadkan kuota semua negara luar kepada hanya 45 peratus daripada jumlah sebelum itu susulan kebimbangan penularan Covid-19.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan