25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kerusi dimenangi BN hak mutlak parti, bukan peribadi

Tujuan BN membuat surat akujanji calon PRU15 bertujuan memberikan peranan Pengerusi BN mandat untuk membincangkan soal pembentukan kerajaan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERUSI yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah hak mutlak parti dan bukannya hak peribadi, tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Atas sebab itulah, kata beliau, mengapa beliau telah mengarahkan semua calon UMNO menandatangani perjanjian dan akuan bersumpah (SD) sedemikian pada PRU lalu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tujuan Barisan Nasional (BN) membuat SD calon pilihan raya itu bertujuan memberikan peranan Pengerusi BN sebagai mandat untuk membincangkan soal pembentukan kerajaan.

“Itu antara keperluan kenapa parti menyediakan dokumen perjanjian antara calon dan parti, di samping SD sebelum pilihan raya umum yang lalu.

“Tujuan semua dokumen ini disediakan adalah untuk menjelaskan bahawa kerusi yang dimenangi kelak pada pilihan raya adalah hak milik mutlak parti,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, taklimat Akta Antilompat Parti kepada perhubungan negeri dan keperluan menyediakan dokumen perjanjian calon dengan parti di samping penyediaan akuan-akuan bersumpah juga diberikan. 

“Malah akujanji pula memberikan Ketua Utama Parti, mandat untuk membincangkan soal pembentukan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyebut lima proses BN bagi menghadapi PRU15 bagi menjelaskan pelbagai tohmahan yang dilontarkan kepada parti ekoran kekalahan pada PRU-15.

Secara sinis, beliau berkata, belum pun subuh pengkhianatan telah dibuat terhadap UMNO.

Ini ekoran tindakan 10 Ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO yang menandatangani SD menyokong pelantikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri.

“Lebih menyedihkan ia diatur oleh orang kita sendiri, sedangkan kita sebutkan tadi ada akuan bersumpah, akujanji dan kerusi yang dimenangi bukan hak peribadi tetapi hak mutlak parti.

“Bagaimanapun, 10 Ahli Parlimen BN yang sokong PN (Perikatan Nasional) telah bersama kita kembali dan keputusan yang dibuat secara bersama dengan kerangka parti,” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan