PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpendapat Kerajaan Pusat wajar mempertimbangkan dengan serius cadangan untuk membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kebenaran pengeluaran KWSP itu perlu dibenarkan dengan penentuan sasaran dan kriteria pengeluarannya mesti dikaji dengan mendalam.
Menurutnya, kaedah yang dipelopori sewaktu era Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri iaitu pengeluaran bersasar dan pengeluaran dalam jumlah berperingkat boleh menjadi landasan bagi Kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menegaskan Kerajaan Pusat mesti mencari penyelesaian jangka panjang untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup yang semakin meruncing.
Dalam masa sama, beliau juga memahami kebimbangan Anwar mengenai masa depan pencarum selain faham kesusahan pencarum yang bimbang mengenai kehidupan hari ini yang semakin meruncing.
“Namun, saya berharap Anwar faham bahawa tuntutan masa depan dan tuntutan semasa mestilah diseimbangkan.
“Jangan biarkan rakyat menderita dan sengsara hari ini, padahal mereka ada wang milik sendiri dalam akaun KWSP yang kerajaan halang mereka keluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Wan Saiful menambah, beliau turut dikunjungi oleh beberapa pengadu di Pusat Khidmatnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, selain menerima memorandum daripada Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR) yang mahu dibenarkan mengeluarkan dana KWSP yang sebenarnya adalah milik dan hak mereka.
“Saya sayu apabila ada yang menceritakan betapa mereka tidak mampu membeli makanan atau pakaian anak-anak sehingga ada yang menghadapi tekanan jiwa.
“Oleh kerana perkara ini ada disuarakan oleh warga Tasek Gelugor, insya-Allah saya akan cuba membawa isu ini ke sidang Parlimen nanti. Dan saya harap Kerajaan akan menyentuhnya dalam pembentangan Belanjawan 2023,” katanya.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan nasib dan masa depan pencarum KWSP sebelum membenarkan sekali lagi pengeluaran khas.
Anwar berkata, adalah lebih baik kerajaan mencari kaedah dan jalan lain yang lebih berkesan bagi membantu rakyat yang terkesan serta kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.
Menurut Perdana Menteri, kebanyakan pencarum memiliki jumlah simpanan yang sangat kecil dan jika kerajaan membenarkan pengeluaran sekali lagi, ia akan memberikan kesan kepada masa depan pencarum itu sendiri.
-EDISI9