34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Ismail Sabri tak setuju pecat, gantung pemimpin UMNO

Berlaku kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan memecat dan menggantung keahlian para pemimpin UMNO terbabit.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin malam semalam.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau juga tidak bersetuju dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menggantung keahlian tiga pemimpin lain iaitu Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif.

Ismail Sabri menegaskan, beliau juga tidak bersetuju tindakan terhadap bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang turut dipecat keahliannya selepas beliau meminta untuk dipecat kerana tidak mahu digantung selama enam tahun.

“Saya menyatakan tidak setuju dengan keputusan tersebut atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip natural justice seperti hak membela diri.

“Sebagai sebuah parti yang bertamadun, UMNO mesti dilihat telus dalam membuat sebarang tindakan,” katanya dalam laman sosial Instagram beliau malam tadi.

Ismail Sabri menegaskan berlaku kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan memecat dan menggantung keahlian para pemimpin UMNO terbabit.

Pertamanya, jelas beliau, tiada surat tunjuk sebab bagi yang dituduh mengetahui pertuduhan terhadap mereka dan kedua, tiada ruang menjawab pertuduhan melalui surat tunjuk sebab tersebut.

“Jika yang menuduh tidak puas hati, maka yang dituduh perlu dirujuk kepada pendengaran dalam jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan diri.

“Beliau boleh membawa saksi. Tuduhan perlu dibuktikan. Jika jawatankuasa disiplin mendapati yang dituduh bersalah atau sebaliknya maka jawatankuasa disiplin perlu memberi cadangan kepada jawatankuasa pengurusan UMNO,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan UMNO juga perlu berbincang dan membawa cadangan ke Majlis Tertinggi untuk keputusan namun proses berkenaan tidak dilaksanakan.

Bahkan, katanya, beliau dimaklumkan jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihatkan Presiden untuk sebarang tindakan namun hanya memaklumkan tentang terdapat laporan dibuat terhadap yang dituduh.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan