29.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 21, 2024

Isham cabar PN tunjuk bukti tak rasuah pengundi

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KETUA Penerangan UMNO, Isham Jalil mencabar Perikatan Nasional (PN) supaya menunjukkan bukti kukuh yang didakwa bahawa mereka tidak merasuah pengundi ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Isham berkata, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, perlu menunjukkan bukti kukuh berkenaan supaya rakyat boleh menilai kesahihannya, selain mengelak fitnah sekiranya mereka berada di pihak yang benar.

“Cuba cerita sikit apakah niat PN beri duit kepada pengundi sewaktu pilihan raya itu, Hamzah? Dan kamu kata kamu ada bukti kukuh yang PN kononnya tidak rasuah pengundi semasa pilihan raya lepas.

“Jika benar, nyatakanlah bukti kukuh tersebut supaya rakyat boleh menilai dan untuk mengelak fitnah jika kamu benar,” katanya dalam Facebook, malam tadi.

Dalam pada itu, Isham meminta PN turut menjelaskan mengenai banyak video yang tular dan laporan polis yang dibuat berkenaan ‘orang PN’ memberi duit kepada pengundi dan meminta penerima duit bersumpah atas nama Allah supaya mengundi PAS.

“Menggunakan nama Allah untuk merasuah pengundi adalah sesuatu yang keji. Dan kemudian menipu untuk menutup amalan rasuah tersebut bukanlah sesuatu strategi yang baik, ia umpama menggali lubang yang lebih dalam untuk tanam diri sendiri.

“Usah memperguna dan menunggang agama untuk menghalalkan yang haram. Yang haram tetap haram. Allah maha mengetahui apa yang kamu dan rakan-rakan kamu buat. Bertaubatlah,” katanya.

Terdahulu, Hamzah mendakwa mempunyai bukti kukuh untuk menafikan dakwaan PN melakukan sogokan wang kepada pengundi pada PRU-15.

Bahkan ujar Hamzah, pasukan pembelaan parti itu sudah bersedia membuktikan bahawa dakwaan oleh UMNO Terengganu yang dibuat melalui petisyen pilihan raya itu tidak benar.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan meminta UMNO Terengganu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemberian wang kepada pengundi sepanjang kempen PRU-15 tahun lepas.

Ujar Ahmad, ia perlu dilakukan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan itu.

-EDISI9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda ‘bungkus’ lebih awal

SKUAD Harimau Muda “pulang awal” dalam aksi Piala Asia Bawah 23 Tahun (B23) setelah tewas 0-2 kepada Vietnam dalam...

Lagi Artikel Berkaitan