25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Indonesia sambut baik perubahan dasar pekerja asing di Malaysia

Ini termasuk pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan pelanjutan Pelan Rekalibrasi PATI 2.0

Mesti Baca

INDONESIA menyambut baik perubahan dasar dan penjajaran fungsi pengurusan pekerja asing yang akan dilaksanakan Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut beliau, perubahan dasar itu termasuk pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan pelanjutan Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 yang akan mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor kritikal bagi memacu ekonomi negara.

“Persetujuan itu akan dimanifestasikan melalui perbincangan di peringkat pegawai dalam mekanisme jawatankuasa sedia ada antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin Nasution berada di Jakarta dalam rangka lawatan kerja delegasi Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) ke negara-negara sumber terpilih.

Lawatan itu adalah susulan keputusan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada awal Januari lalu khususnya yang terkait dengan pengurusan penggajian pekerja asing.

Dalam lawatan tersebut Saifuddin Nasution telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Dr Ida Fauziyah dan Menteri Hukum & Hak Asasi Manusia, Yasonna H. Laoly.

Saifuddin Nasution Ismail ketika bertemu Yasonna H. Laoly di Jakarta, Indonesia.

Beliau berkata, Kuala Lumpur turut membangkitkan tentang beberapa tindakan yang perlu diambil dengan kadar segera susulan keputusan kedua-dua pemimpin negara bagi menambah baik pengurusan pekerja asing Indonesia di Malaysia.

“Ini termasuklah pengurangan tempoh masa dan kos migrasi yang terkait dengan penggajian pekerja asing serta mengoptimumkan penggunaan teknologi pendigitalan bagi tujuan integrasi sistem dan memudah cara pemantauan pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata, pertemuan tersebut ditunjangi oleh komitmen pucuk pimpinan kedua-dua negara bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja asing dari Indonesia yang berkhidmat di Malaysia sentiasa dilindungi pada setiap masa.

Di samping itu, kata Saifuddin Nasution, perbincangan turut menyentuh perihal penguatkuasaan undang-undang imigresen dan perburuhan melibatkan pekerja Indonesia, pengurusan penghantaran pulang banduan dan tahanan imigresen serta tindakan penyelarasan bagi meminimumkan risiko pekerja asing daripada diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Akhir sekali, perihal kerjasama keimigresenan dan kawalan sempadan turut dibincang bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan kedua-dua negara dapat direncanakan dengan baik,” katanya.

Lawatan itu juga katanya, merekodkan komitmen kedua-dua pihak untuk bekerjasama merentasi portfolio kementerian-kementerian tertentu.

Untuk rekod, Indonesia merupakan negara sumber kedua terbesar yang menyumbangkan tenaga kerja asing ke Malaysia selepas Bangladesh. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan