25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Peja gesa Anwar ‘rehatkan’ Zahid daripada tugas TPM

Pemulangan pasport Zahid pastinya menyebabkan lebih banyak kelewatan dalam proses perbicaraan yang dihadapi oleh Presiden UMNO itu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa merehatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri sehinggalah kes mahkamahnya selesai.

Gesaan itu dibuat Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu susulan rayuan Zahid bagi mendapatkan semula pasport antarabangsanya daripada pihak mahkamah.

Ahmad Faizal atau Peja yang tewas kepada Anwar di Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu berkata, itu adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi Zahid.

“Pendekatan terbaik bagi menangani isu ini adalah dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bertegas supaya Datuk Seri Ahmad Zahid direhatkan dari tugas beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi memberi fokus kepada proses perbicaraan mahkamah, seterusnya membuktikan beliau tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan yang disabitkan.

“Tindakan itu bagi menjamin sistem kehakiman negara yang bebas dan adil, selain menjamin perbicaraan yang telus tanpa sebarang campur tangan dan penangguhan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengulas rayuan yang dibuat oleh Zahid kepada pihak mahkamah bagi mendapatkan semula dokumen perjalanan antarabangsanya.

Zahid dalam rayuannya berkata, ketiadaan pasport antarabangsa mengekang tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri terutama bagi urusan di luar negara yang telah diberi mandat oleh Perdana Menteri.

“Permohonan yang menggunakan alasan kepentingan negara ini nyata dilihat memberi tekanan kepada pihak mahkamah serta hakim dan akan menganggu proses perbicaraan.

“Walaupun ia menjadi kuasa mutlak hakim untuk memulangkan pasport berkenaan, namun bidang tugas yang dipegang Datuk Seri Ahmad Zahid yang dalam pentadbiran kerajaan ketika ini, akan memberi kesan kepada kuasa bidang kehakiman untuk menjamin perbicaraan yang efisyen, lancar serta tanpa penangguhan,” katanya.

Ahmad Faizal menegaskan pemulangan pasport berkenaan pastinya akan menyebabkan lebih banyak kelewatan dalam proses perbicaraan, dengan pelbagai alasan urusan tugas, seterusnya akan mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan.

“Hakikatnya, pentadbiran negara mempunyai Timbalan Perdana Menteri yang masih berdepan perbicaraan 47 pertuduhan di mahkamah ketika ini juga perlu dilihat sebagai perosak kepada komposisi Jemaah Menteri serta kerajaan secara keseluruhan.

“Ia adalah satu penghinaan kepada majoriti pengundi dalam pilihan raya umum ke-15, yang mengharapkan sebuah kerajaan bersih, telus dan berintegriti,” karanya.

-EDISI9

Terkini

Malaysia, UNDP perbaharui kerjasama sehingga 2025

PARLIMEN Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersetuju memperbaharui kerjasama merangkumi sistem Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan...

Lagi Artikel Berkaitan