26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Abang Mat, perlu ke pergi India tengok telur? soal Ka Siong

Di Yong Peng sahaja,terdapat lebih 100 ladang ayam dan di sinilah tempat paling popular menghasilkan telur untuk pasaran tempatan dan juga berjuta biji telur dieksport ke Singapura setiap hari.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AHLI Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong menyarankan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu untuk datang ke Parlimen Ayer Hitam untuk melihat sendiri proses pengeluaran telur ayam daripada pergi ke India.

Beliau berkata, di Yong Peng sahaja,terdapat lebih 100 ladang ayam dan di sinilah tempat paling popular menghasilkan telur untuk pasaran tempatan dan juga berjuta biji telur dieksport ke Singapura setiap hari.

“Abang Mat, jauh jelajah?! Perlu ke India tengok telur ke?Saya cadangkan datang ke kawasan saya Parlimen Ayer Hitam.

“Abang Mat, telur tempatan hanya boleh dijual dengan RM0.41 sebiji kerana ada kawalan harga. Penternak tempatan rugi kerana kos mereka melebihi harga kawalan telur.

“Kalau rugi, penternak tak akan membela ayam untuk menghasilkan telur.

“Saya rasa pelik pula telur import dari India dijual dengan RM0.50 sebiji. Kalau diangkut melalui kapal, telur dari India perlu masa 3 hingga 4 minggu untuk sampai ke Malaysia. Segarkah telur India berbanding telur tempatan?,”soalnya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Ka Siong turut mencadangkan kepada menteri berkenaan supaya pertimbangkan kepada pengawalan pada harga telur berkenaan.

“Abang Mat, apa kata harga kawalan diubah? Saya rasa kalau harga kawalan ditetapkan RM0.50 sebiji (sama macam harga telur import dari India), mungkin penternak tempatan sanggup bela kerana mereka tak akan rugi.

“Kalau kerajaan mampu dan bersungguh nak bantu golongan B40, boleh wujudkan “elaun telur secara top up” kepada golongan B40 untuk menanggung bebanan kewangan iaitu selisih harga RM0.09 (RM0.50-RM0.41) sebiji.

“Kalau RM200 setahun, banyak telur boleh dimakan oleh keluarga B40. Abang Mat, telur India RM0.50 sebiji tau? Utamakanlah penternak tempatan.

“Tak payah import telur dari India jika bekalan mencukupi. Kan Kementerian Abang Mat turut menjaga keterjaminan makanan?

“Fikir-fikirkanlah Abang Mat! Telur dan ayam adalah makanan asas rakyat tak kira kaum atau agama. Patut dijadikan keutamaan. Mohon bantu,”ujar beliau.

Terdahulu Mohamad dilaporkan berlepas ke Namakkal, Tamil Nadu, India, hujung minggu lalu bagi melihat sendiri proses pengeluaran telur ayam yang dieksport ke Malaysia.

Lawatan itu juga bagi memastikan telur yang diimport untuk rakyat Malaysia bersih, selamat dan lebih murah dari telur tempatan.

Mohamad menghabiskan masa selama dua jam di ladang pengeluaran dan pusat pengumpulan telur untuk pasaran Malaysia. – Edisi 9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan