30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

TNB utamakan keselamatan orang ramai, putus bekalan elektrik

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TENAGA Nasional Bhd (TNB) sentiasa mengutamakan keselamatan orang ramai dan warga kerjanya dalam menguruskan bekalan elektrik di kawasan dilanda banjir, termasuk memutuskan bekalan dengan segera berdasarkan keperluan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din, berkata langkah berkenaan juga adalah untuk meminimumkan kerosakan pepasangan TNB dan memastikan pengurusan bekalan tenaga teratur serta berkesan demi kepentingan orang awam.

“Penutupan pencawang elektrik ketika banjir dilakukan demi keselamatan pengguna dan pekerja TNB.

“TNB tidak berkompromi terhadap keselamatan pengguna dan warga kerja dalam proses pemulihan bekalan selepas banjir surut bagi mengelak kemungkinan risiko percikan arka (flash over) dan renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baharin berkata, TNB turut memberikan bekalan elektrik melalui set janakuasa mudah alih di pusat pemindahan sementara (PPS), yang tidak menerima bekalan daripada pencawang.

“TNB juga membuka bilik gerakan di negeri dilanda banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik, dengan warga kerjanya ditugaskan melakukan kerja segera di kawasan berlaku gangguan akibat bencana berkenaan,” katanya.

Baharin berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) berkenaan penyediaan bantuan logistik di lokasi sering dilanda banjir, termasuk 296 set janakuasa bergerak, 227 set janakuasa kecil mudah alih 5kW/2.5kW, 279 lori, 38 bot dan 108 lampu limpah.

Katanya, setakat 19 Disember lalu, sejumlah 238 daripada 258 PPS yang sebahagian besarnya di Terengganu dan Kelantan sudah mendapat bekalan elektrik.

“TNB sedang berusaha menghantar set janakuasa mudah alih kepada 20 lagi PPS, yang sukar diakses oleh laluan darat,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik termasuk yang bersalut dengan penebat, yang ditenggelami air. – BERNAMA

Terkini

Jarak bukan penghambat kemesraan menyambut Aidilfitri

Oleh DR AZMAWATY MOHAMAD NOR HARI Raya Aidilfitri merupakan peristiwa yang menggembirakan di mana ia adalah masa untuk keluarga dan...

Lagi Artikel Berkaitan