29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ronald Kiandee ganti Hajiji ketuai Bersatu Sabah – Muhyiddin

Muhyiddin kecewa dengan sikap mantan kepimpinan Bersatu Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah bagi menggantikan Datuk Seri Hajiji Noor yang meninggalkan parti itu, semalam.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran juga akan mengetuai Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah.

Beliau berkata, Ronald bertanggungjawab menyelia dan menguruskan parti itu dan PN negeri sehingga penyusunan semula parti berkenaan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPN) Bersatu dan Majlis Tertinggi (MT) PN.

“Badan Pimpinan Negeri, Bahagian-Bahagian dan Cawangan-Cawangan Bersatu di negeri Sabah ditubuhkan oleh MPT Bersatu dan hanya MPT Bersatu yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah mengumumkan pimpinan Bersatu negeri itu telah meninggalkan parti atas dasar ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

Beliau berkata, ini kerana Bersatu di peringkat Persekutuan adalah pembangkang manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan negeri ditunjangi oleh GRS dan Barisan Nasional (BN) juga telah mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong bahawa pertimbangan terbaik untuk pembentukan kerajaan perpaduan diterajui Anwar Ibrahim satu daripadanya adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Muhyiddin kecewa dengan sikap mantan kepimpinan Bersatu Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

Lebih-lebih lagi, tegas beliau, kemenangan mereka dalam PRN adalah atas logo PN.

“Saya percaya ahli-ahli Bersatu di Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam Bersatu yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan,” katanya.

Mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen Bersatu yang bertanding menggunakan logo GRS dalam PRU15, Muhyiddin berkata, kedudukan mereka akan ditentukan berdasarkan undang-undang antilompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Hajiji dan bekas anggota Bersatu Sabah itu dikatakan akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu dan akan bersama-sama GRS.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan