30.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

SPRM fokus siasatan terhadap dana kerajaan RM92.5 bilion

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menumpukan siasatan terhadap dana kerajaan sebanyak RM92.5 bilion setelah mendapat butiran daripada Kementerian Kewangan berhubung isu dana berjumlah RM600 bilion sebelum ini.

Menurut SPRM dalam kenyataannya, dana tersebut digunakan bagi menyediakan pakej rangsangan ekonomi oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2020 dan 2021 berkait pengurusan COVID-19.

“Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion.

“Daripada jumlah itu, RM437.5 bilion merupakan dana bukan daripada kerajaan.

“Sementara, sebanyak RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan, jadi fokus siasatan SPRM kini terarah kepada dana kerajaan RM92.5 bilion tersebut,” kata agensi itu.

SPRM berkata, Kementerian Kewangan kini sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkan kepada pihaknya minggu hadapan.

Rabu lalu, media melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipanggil oleh SPRM berhubung dakwaan salah guna dana sebanyak RM600 bilion ketika pandemik Covid-19.

Advertisements

Turut akan dipanggil ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Portal berita The Vibes yang memetik sumber berkata, siasatan itu dijalankan SPRM susulan laporan yang diterima daripada pihak tertentu, yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik itu melanda negara mulai 2020.

Ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Khairy yang juga Menteri Sains dan Teknologi pada permulaan pentadbiran Muhyiddin, kemudiannya bertukar portfolio itu dengan Datuk Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.

Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion yang dilakukan kerajaan terdahulu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan