30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tewas PRU-15: Tun M beri bayangan mahu bersara

Pemimpin paling lama mentadbir negara itu bercadang untuk menulis buku sejarah dan aktiviti dalam negara

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri paling lama mentadbir negara, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan mahu bersara daripada arena politik setelah parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

Pemimpin berusia 97 tahun yang turut gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi dalam PRU Sabtu lalu itu bercadang untuk menulis buku berkenaan sejarah dan aktiviti dalam negara.

“Saya sendiri akan tumpu kepada penulisan berkenaan dengan sejarah dan aktiviti dalam negara.

“Sesungguhnya banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkod, termasuk apa yang berlaku di zaman British,” katanya hari ini.

Dr Mahathir kali pertama menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun pada 1981 hingga 2003 di bawah kerajaan Barisan Nasional.

Beliau kemudian membuat kemunculan semula dan menang dalam PRU-14 atas tiket Pakatan Harapan (PH) dan dilantik sebagai Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018, namun melepaskan jawatan selepas 22 bulan mentadbir negara.

Bagaimanapun dalam PRU-15 baru lalu, Dr Mahathir mengalami kekalahan memalukan apabila tewas dan hilang wang deposit apabila hanya memperoleh 4,566 undi.

Kerusi tersebut telah dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah yang memperoleh 25,463 undi.

Mengenai kekalahan kesemua 125 kerusi yang ditandingi parti Pejuang, Dr Mahathir berkata walaupun sedih namun beliau tetap akur dengan pilihan rakyat.

“Saya harap pihak yang menang akan mendirikan kerajaan Malaysia. Oleh kerana Pejuang kalah semua 125 kawasan yang dipertandingkan, Pejuang tidak pun dapat menjadi pembangkang dalam Dewan.

“Segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksalah digugur. Yang boleh dilakukan oleh Pejuang ialah melihat arah pemerintahan pihak yang menang,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau mendoakan agar kerajaan baharu dapat memulihkan segala masalah yang dihadapi oleh negara.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan