26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Nama-nama bakal digugur, apa reaksi mereka?

Mesti Baca

MENJELANG pengumuman calon Barisan Nasional (BN) yang dijangka diumumkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam ini, telah kedengaran tentang siapa yang akan dicalonkan dan siapa yang tidak.

Difahamkan Zahid telah memanggil semua calon yang dipilih untuk menandatangani surat aku janji dan menyerahkan watikah calon sejak semalam.

Jumaat lalu, Presiden UMNO itu sudah memberi bayangan bahawa calon yang akan dipilih terdiri daripada mereka yang tidak ‘besar kepala’ dan tidak bersuara sumbang terhadap kepimpinan sendiri.

Beliau berkata, calon-calon yang dipilih juga merupakan mereka yang berdisiplin tinggi serta berani mempertahankan parti daripada diperlekehkan selain mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.

Melihat kenyataan tersebut, sudah boleh dijangka bahawa ahli-ahli Parlimen yang mempertahankan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tahun lalu, bakal ‘dipancung’.

Kecuali Datuk Seri Ismail Sabri yang diangkat sebagai poster boy BN, nama-nama seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Halimah Mohamed Sadique, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan beberapa nama lagi dijangka tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketika krisis politik yang menyaksikan ahli Parlimen pro-Zahid menarik sokongan kepada Muhyiddin, terdapat 30 ahli Parlimen BN diketuai oleh Ismail Sabri telah membuat akuan bersumpah menyokong Presiden Bersatu itu.

Tindakan kumpulan ahli Parlimen terbabit dikatakan telah ‘melawan’ Presiden dan melanggar keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta parti.

Annuar yang juga penyandang kerusi Parlimen Ketereh sudah pasti tidak dicalonkan pada PRU-15 namun bersikap berlapang dada.

Malam tadi beliau mengadakan pertemuan dengan semua jawatankuasa Bahagian Ketereh dan ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Nasihat saya supaya semua bertenang, teruskan tugas bersama rakyat saperti biasa. Kukuhkan perpaduan rakyat Ketereh,” katanya menerusi Facebook beliau.

Shahidan pula menganggap pengguguran beliau sebagai calon untuk mempertahankan Parlimen Arau sebagai “malam kesedihan yang amat sangat.”

Kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan parti, BN Parlimen Arau telah menutup bilik gerakan mereka dan semua bendera parti diturunkan.

“Kali pertama dalam sejarah,” katanya juga menerusi Facebook.

Halimah menerusi hantaran terbaharu di Facebooknya pagi ini kelihatan tenang ketika namanya disebut-sebut tidak tersenarai sebagai calon.

“Selamat datang November. Doa yang baik-baik aje. Pagi semuanya!,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan