ZON Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan pukat tunda kelas B bersama tiga kru warga Myanmar di kedudukan 16.2 batu nautika selatan muara Kuala Kurau pada sekitar jam 10.30 pagi, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kuala Kurau dan Larut Matang, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan bot terbabit dalam keadaan mencurigakan sedang melakukan aktiviti perikanan dan dirapati untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga kru warga Myanmar termasuk tekong berumur antara 33 dan 34 tahun, tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di atas bot.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu memiliki lesen yang sah namun tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Selain itu, bot terbabit tidak diusahakan sendiri pemiliknya.
“Sehubungan dengan itu, kesemua kru, bot, hasil ikan campur sebanyak 40 kilogram dan peralatan menangkap ikan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook di sini.
Ujar beliau, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.
“Akta itu melanggar syarat lesen dengan tidak mempunyai kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta bot tidak diusahakan sendiri pemiliknya,” katanya.
Katanya, Maritim Malaysia terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut dan sebarang aduan atau insiden kecemasan.
Orang ramai boleh melaporkannya ke MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala di talian 05-7279919 untuk tindakan segera.-Edisi 9