31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Bot pukat kenka, 58 bubu naga dirampas di perairan Perak

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sepasang bot pukat kenka di kedudukan 0.65 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau kira-kira jam 12.05 tengahari, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kuala Kurau, Pasukan Bot Peronda Maritim Malaysia telah mengesan bot itu dalam keadaan mencurigakan dan dirapati untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan seramai empat orang kru termasuk tekong di bot pertama dan seorang kru di bot kedua.

“Kesemua yang ditahan ialah nelayan warga tempatan berumur antara 52 hingga 68 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati, mereka memiliki lesen yang sah namun pemilik tidak mengusahakan sendiri botnya.

“Sebanyak 200 kilogram ikan baja turut ditemukan di atas bot semasa pemeriksaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Sehubungan dengan itu, kata beliau, kesemua kru, bot, hasil dan peralatan perikanan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu tidak mengusahakan sendiri oleh pemilik bot,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingam katanya, pada 14 dan 15 November lalu, sebanyak 58 set bubu naga telah dirampas di perairan Kuala Gula dan Kuala Terong.

“Rampasan pertama dibuat pada 14 November di kedudukan 9.6 batu nautika barat daya muara Kuala Gula sekitar jam 3.20 petang.

58 set bubu naga telah dirampas di perairan Kuala Gula dan Kuala Terong.

“Manakala rampasan kedua pada 15 November di kedudukan tiga batu nautika barat laut muara Kuala Terong sekitar jam 10.45 malam.

“Kesemua bubu naga yang dirampas telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk siasatan.

“Anggaran nilai rampasan bubu naga pada kali ini dianggarkan berjumlah RM 4,060 dengan nilai RM 70 setiap satu set,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3) (c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Ujar beliau, Maritim Malaysia sentiasa komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut.

Sebarang aduan dan maklumat insiden kecemasan, orang ramai boleh menyalurkannya ke MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 untuk tindakan segera. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan