33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

36 jemaah umrah terkandas berjaya dibawa pulang

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 36 jemaah umrah warganegara Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun 2022 telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.50 pagi tadi.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, kesemua jemaah terbabit adalah kumpulan pertama yang telah dibawa pulang daripada 63 jemaah umrah keseluruhannya.

“Baki seramai 27 orang jemaah lagi akan dibawa pulang menerusi penerbangan seterusnya.

“Urusan membawa pulang jemaah umrah yang terkandas ini telah dilaksanakan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut Wisma Putra, proses berkenaan bagi memelihara hubungan dua hala antara Malaysia dengan Arab Saudi, dan keistimewaan diberikan kepada Malaysia seperti Visa Pelancong yang hanya diberikan kepada 49 buah negara sahaja.

“Kerajaan Malaysia ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam membantu usaha ini.

“KLN kekal komited memastikan keselamatan serta kebajikan warga Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara melalui bantuan konsular berdasarkan kepada Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963,” katanya.

Kementerian turut menasihatkan warganegara Malaysia untuk sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di luar negara.

Sebelum ini, seramai 63 jemaah umrah terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak dilaporkan terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

Jemaah berkenaan dilaporkan dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu.

Mereka dikatakan terpedaya dengan pemimpin tarekat berkenaan yang mendakwa kononnya Imam Mahdi akan muncul di Arafah.

Turut dilaporkan, susulan pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat terbabit diusir keluar oleh kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lalu.

Keadaan itu menyebabkan kumpulan berkenaan terpaksa tinggal di Masjid Nabawi, Madinah dan mengharap ehsan orang ramai yang memberi bantuan wang dan makanan untuk menyara hidup selepas terkandas lebih tiga bulan. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan