25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Tiba masanya bidang pengajian STEAM diberi perhatian

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DR MARINA NG dan DR JOANNE LIM BEE YIN

PADA hakikatnya, pelajar dan bakal graduan abad ke-21 perlu menguasai kemahiran yang boleh diguna pakai dalam pelbagai bidang.

Pengalaman pendidikan yang terbaik mampu mempersiapkan pelajar untuk menghadapi dunia sebenar, melengkapkan mereka dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan untuk menyesuaikan diri dalam situasi rumit yang mungkin dihadapi mereka kelak.

Pelajar bukan sahaja patut diajar berfikir secara kritikal, tetapi juga secara kreatif. Malah pereka cipta paling hebat dalam sejarah tidak akan dapat mencapai kejayaan yang mengangkat nama mereka tanpa idea di luar kelaziman.

STEAM atau singkatan bahasa Inggeris bagi pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik, mengisi jurang ini untuk menggalakkan pelajar berfikir di luar kepompong pemikiran biasa, lantas mengubah cara mereka melihat dan mengharungi dunia.

Bidang pengajian ini juga boleh membantu membina individu yang lebih bersedia untuk menghadapi isu-isu global yang rumit.

Malah lebih daripada itu, jika kita mahu bersiap sedia memasuki Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dengan tahap persediaan yang lebih tinggi, kita perlu mengukuhkan usaha untuk membina tenaga kerja mahir dan pendidikan STEAM adalah komponen penting dalam usaha ini.

Sebagai lanjutan daripada pengajian bertumpukan STEM, langkah melibatkan bidang Kesenian merupakan satu usaha untuk mengiktiraf bidang ini sebagai bidang yang tidak kurang pentingnya kepada pembangunan insan, di samping mendidik pelajar tentang nilai-nilai kreativiti, inovasi dan komunikasi.

Pendekatan ini juga melibatkan pilihan subjek yang lebih luas, seperti sastera liberal, seni halus, seni persembahan, reka bentuk dan banyak lagi, sambil meluaskan perspektif pelajar tentang sesuatu masalah dan cara terbaik untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Advertisements

Fakulti Sains dan Kejuruteraan dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial University of Nottingham Malaysia (UNM) baru-baru ini menganjurkan kelas kendalian pakar tentang STEAM, bersama 500 pelajar sekolah menengah dari 100 sekolah di seluruh Malaysia, yang hadir secara fizikal dan maya.

Dalam sesi kelas kendalian pakar ini, kami mengupas topik semasa seperti Cabutan Bertuah (Genetik) dan Mencorakkan Masa Depan Anda Menggunakan Percetakan 3D, dan Bagaimana Menjadi Jurupengaruh Sebenar, Membina Portfolio Pelaburan Terpelbagai dan Bahasa Korea 101 (dan Belajar Bahasa Asing).

Kelas yang dikendalikan bertujuan mendedahkan peraliran semasa kepada anak-anak muda, serta kemahiran dan ilmu yang perlu ditimba dan diasah oleh mereka untuk menyumbang kepada ekonomi masa depan.

Di samping itu, kami mahu memberi peluang kepada pelajar muda untuk mempelajari STEAM dan memperkenalkannya semula dengan cara yang interaktif dan menyeronokkan, seterusnya membuktikan bahawa STEAM tidaklah sesukar tanggapan ramai.

Pendidikan STEAM juga boleh membantu mempersiapkan pelajar untuk beberapa kerjaya yang mempunyai tahap permintaan paling tinggi di Malaysia pada 2022, seperti yang disenaraikan oleh JobStreet, termasuk teknologi maklumat (IT), pembangunan perisian, pemasaran digital,
kewangan, pembangunan perniagaan, perubatan dan pendidikan.

Dengan matlamat melahirkan graduan yang sedia untuk menceburi industri, pendedahan kepada STEAM boleh memberikan kelebihan daya saing yang diperlukan untuk membina kerjaya masa depan, dengan permintaan untuk tenaga kerja dalam bidang ini yang terus meningkat dalam tempoh yang mendatang.

Berasaskan kejayaan yang kami capai, kami berharap untuk melihat lebih banyak institusi pendidikan dan golongan pendidik, melaksanakan inisiatif untuk mengukuhkan pendidikan STEAM untuk semua.

Kami juga menyeru ibu bapa, dan penjaga, untuk mengiktiraf kesan dan manfaat pendidikan STEAM terhadap perkembangan kanak-kanak, dari segi akademik dan dari aspek lain.

Kita terus berbincang tentang keperluan dan kepentingan membina tenaga kerja yang mahir, tetapi sesungguhnya kita harus bermula dengan menjadikan program ini lebih mudah diikuti oleh semua anak muda Malaysia.

Apabila anak-anak kita berkembang maju sebagai individu, kita juga turut sama berkembang maju sebagai sebuah negara.


  • Prof Madya Dr Kher Hui @ Marina Ng adalah Dekan Bersekutu Fakulti Sains dan Kejuruteraan (FOSE) University of Nottingham Malaysia manakala Prof Madya Dr Joanne Lim Bee Yin merupakan Dekan Bersekutu Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) UNM.
Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan