32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Undang-undang larang tukar parti dikuat kuasa sebelum PRU-15

Undang-undang terbabit ketika ini sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti mana dipaparkan di laman sesawang rasmi Istana Negara.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN memberi jaminan undang-undang berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti akan dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang terbabit ketika ini sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti mana dipaparkan di laman sesawang rasmi Istana Negara.

“Ia akan berlaku (kuat kuasa) sebelum (PRU-15). Perlu bersabar dan saya akan tampil sekali lagi di hadapan anda (pemberita) dalam tempoh terdekat.

“Saya akan memberi penjelasan lanjut ketika itu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan 14 akta termasuk Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 yang lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata akta lain ialah Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran) 2022, Akta Sistem Insurans Pekerja (Pindaan) 2022, Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022 dan Akta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022.

28 Julai lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga, pada Khamis.

Undi belah bahagian yang dimulakan pada jam 4.45 petang itu menyaksikan seramai 209 bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas selesai kiraan dibuat pada jam 5.12 petang.

RUU paling dinanti-nanti itu diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 ahli Parlimen mewakili pelbagai parti politik daripada pihak kerajaan dan blok pembangkang.

-EDISI9

Terkini

Dewan Rakyat lulus RUU Pindaan AUKU 2023

DEWAN Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2023 setelah dibacakan buat...

Lagi Artikel Berkaitan