KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) bakal melancarkan perisian Microsoft Reading Progress bagi membantu penguasaan bahasa Inggeris murid.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, murid boleh menggunakan aplikasi berkenaan dan membaca para dan ayat yang disediakan oleh guru dan sistem tersebut akan menilai bacaan dari konteks sebutan.
“Ini dapat membantu murid-murid untuk membuat sebutan yang tepat bagi setiap perkataan.
“Pada masa yang sama ianya dapat membantu murid untuk diperkenalkan dengan perkataan-perkataan baharu.
“Jadi tunggu masa terdekat, kita akan lancarkan satu program untuk meningkatkan pengguasaan bahasa Inggeris melalui Microsoft Reading Progress,” katanya dalam hantaran video Facebook hari ini.
Terdahulu, Radzi menyatakan dalam tempoh dua tahun setengah, telah banyak transformasi dilaksanakan kepada sistem pendidikan.
“Petang ini saya nak cerita satu tranformasi yang kita bakal laksanakan, dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
“Kalau dahulu kita baca buku bahasa Inggeris mungkin tidak ada guru yang sempat untuk melihat apakah teknik pembacaan itu, apakah sebutan itu betul dan tepat.
“… sebab itu in sya Allah dalam tempoh yang terdekat ini kita akan lancarkan satu program yang akan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak kita,” katanya.
Malah menurut beliau, program tersebut juga akan memudahkan guru-guru untuk melihat setakat mana murid menguasai bahasa Inggeris khususnya dalam konteks percakapan dan sebutan perkataan.
-EDISI9