28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Dana khas RM200,000 kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia

Peruntukan itu bertujuan memastikan kebajikan pesara polis yang membantu menjaga keselamatan negara sepanjang perkhidmatan mereka, terus terjaga dan dibela.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DANA khas RM200,000 diperuntukkan kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia dan RM100,000 kepada Persatuan Bekas Polis Pahang sebagai menghargai jasa pesara pasukan keselamatan berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu bertujuan memastikan kebajikan pesara polis yang membantu menjaga keselamatan negara sepanjang perkhidmatan mereka, terus terjaga dan dibela.

“Apabila cakap soal pesara, mereka (pesara) selalu nak dengar pengumuman kerajaan khusus untuk pesara, tetapi kerajaan sebenarnya telah umum pelbagai pinjaman perniagaan, (misalnya) TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) yang diperuntukkan sejumlah besar, meliputi semua termasuk pesara.

“Jadi sebenarnya banyak program diumumkan kerajaan di bawah latihan Perkeso, HRD Corp yang tak sebut secara terperinci kepada pesara, namun jelas bahawa pesara memang tidak dipinggirkan,” katanya seperti dilaporkan Bernama pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Pahang kali ke-42 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, Pahang, hari ini.

Ismail Sabri turut memaklumkan pengecualian cukai kepada individu dan badan korporat yang memberi dana kepada persatuan atau badan yang tidak membuat keuntungan seperti Persatuan Bekas Polis Malaysia. 

Selain itu, beliau turut dimaklumkan buat masa ini anggota-anggota Persatuan Polis Diraja Malaysia tidak mempunyai badan perunding yang utama bagi menyelaras dan mengkaji kebajikan ahlinya melalui tabung yang boleh mencukupi untuk pelarasan bantuan ini.

“Saya juga difahamkan bahawa Tabung Wang Amanah Pencen (TWAP) tidak dapat menampung secara konsisten bayaran bantuan kepada para bekas polis negara.

“Saya memberi komitmen bahawa jika Kerajaan hari ini akan terus memimpin negara, saya akan mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengkaji perkara ini agar kepentingan pihak persatuan polis akan terus dibela,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan Kerajaan sentiasa menitik beratkan keselamatan negara.

Menurut beliau, tugas anggota keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah amat penting bagi menjamin ketenteraman awam dan memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

“Justeru, pasukan keselamatan khususnya PDRM memerlukan jentera pentadbiran dan operasi yang kukuh bagi mengekalkan keharmonian Keluarga Malaysia yang dilihat semakin mencabar dan dinamik.

“Ketika pembentangan Bajet 2023 yang lalu, Kerajaan terus memperkukuh ketenteraman awam dan keselamatan negara dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan Awam (MINDEF) diperuntukkan masing-masing sebanyak RM18.3 bilion dan RM17.4 bilion.

Menurut beliau, pada tahun 2023, terdapat lima usaha utama Kerajaan adalah untuk dilaksanakan dalam  memperkukuh ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Pertama, pembelian dan penyelenggaraan aset ATM bagi meningkatkan kesiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir RM4 bilion.

“Kedua, pembelian dan penyelenggaraan aset PDRM bagi meningkatkan keselamatan dalam negeri dengan peruntukan RM431 juta.

“Ketiga, penyelenggaraan semua kapal dan bot APMM bagi memastikan keselamatan kawasan maritim negara dengan peruntukan RM485 juta.

“Keempat, perolehan alat pengimbas badan dan menaik taraf fasiliti di lima penjara antaranya Penjara Seremban, Negeri Sembilan dengan peruntukan RM18 juta dan kelima, penambahan 25 pos kawalan sempadan PGA, Imigresen, ESSCOM, APMM antaranya di Serikin Sarawak dan Lahad Datu Sabah,” katanya.

Selain itu menurut Perdana Menteri, Kerajaan juga komited untuk terus memelihara kebajikan pasukan beruniform tanah air dan para pesara menerusi beberapa inisiatif.

“Pertama, RM118 juta untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT). Kerajaan bercadang untuk membina RKAT baharu pelbagai kelas di Pangkalan Udara Butterworth Pulau Pinang selain 12 projek pembinaan RKAT yang sedang berjalan.

“Kedua, RM42 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf kuarters kediaman PDRM.

“Ketiga, RM28 juta sebagai peruntukan 2023 bagi meneruskan tiga projek pembinaan kuarters di bawah Jabatan Penjara antaranya di Pusat Koreksional Labuan dan Akademi Koreksional Malaysia.

“… dan keempat, pemberian 50 peratus diskaun ke atas pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana kepada 21,000 pemegang kad veteran ATM dan kad pesara Polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.

Beliau berharap, segala inisiatif tersebut dapat dilaksanakan demi membela nasib pesara anggota PDRM negara dan harapan berkenaan akan menjadi kenyataan jika Kerajaan yang dipimpin oleh beliau terus menjadi Kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan