28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Cubaan sindiket seludup 4,560 karton rokok putih digagalkan

Nilai rampasan keseluruhan termasuk kenderaan dianggarkan mencecah hampir RM 300,000.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CUBAAN sindiket menyeludup masuk rokok putih berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Tawau dan merampas sebanyak 4,560 karton di kawasan Sungai Merotai Kecil, Khamis lalu.

Dalam rondaan Op Pluto Timur dan Op Sejahtera yang dilakukan pada jam 4.45 pagi itu turut menyita dua bot pancung dan sebuah lori.

Timbalan Pengarah Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yengah berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan di perairan Tawau, mengesan sebuah bot yang bergerak laju dari arah Pulau Sebatik menuju ke Tawau di kedudukan 1.4 batu nautika selatan Sungai Merotai Kecil.

“Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, bot itu bertindak memecut menuju masuk ke kawasan cetek Sungai Merotai Kecil.

“Dalam suasana gelap dan jarak penglihatan yang terhad, usaha pengejaran bot tersebut telah menemukan lokasi pemunggahan di mana terdapat dua bot pancung dan sebuah lori kargo yang sedang menjalankan aktiviti pemunggahan rokok seludup.

“Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, tekong bot dan kesemua suspek yang berada di lokasi kejadian telah bertindak melarikan diri ke kawasan hutan bakau berhampiran dan meninggalkan kesemua kotak dipercayai tidak bercukai, dua buah bot laju dan sebuah lori kargo.

“Bagaimanapun, keadaan persekitaran yang berlumpur dan gelap mengehadkan usaha untuk mengesan suspek yang melarikan diri.

“Namun begitu, pemeriksaan selanjutnya di lokasi kejadian telah menemukan 3,500 kotak rokok jenama Astro, 500 karton rokok jenama Asatu Kretek, 560 karton jenama Asatu Mild, 2 buah bot kayu tidak berdaftar dengan enjin 200 kuasa kuda setiap satu serta sebuah lori kargo 3 tan,”katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, kesemua barangan dan kenderaan yang digunakan sindiket dirampas untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967 atas kesalahan penyeludupan rokok tidak bercukai.

“Nilai rampasan keseluruhan termasuk kenderaan dianggarkan mencecah hampir RM 300,000,”katanya.

Katanya, siasatan akan dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam sindiket ini.

“Pihak berkuasa percaya bahawa sindiket penyeludupan ini mendapatkan bekalan rokok seludup dari negara jiran dengan modus operandi membawa masuk pada waktu sunyi dengan menggunakan bot berkuasa tinggi bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Ini merupakan kes kedua pada tahun ini melibatkan aktiviti penyeludupan rokok,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan