31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Agong lawat PRABN, diberi taklimat persiapan hadapi banjir

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat persiapan menghadapi bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Ampang, Selangor hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 10.30 pagi disambut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang; Ketua Pengarah JPS ,Datuk Dr Md Nasir Md Noh dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah.

Pada sesi lawatan tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan diberi persembahan taklimat mengenai kesiapsiagaan agensi terlibat untuk menghadapi Monsun Timur Laut 2022/2023 yang dijangka bermula pertengahan bulan depan dan berakhir pada Mac 2023.

Sembah taklimat tersebut juga turut menyentuh keadaan cuaca dan persiapan banjir daripada JPS serta MetMalaysia serta berhubung situasi terkini Covid-19 dan kesediaan Kementerian Kesihatan menghadapi banjir oleh YB Khiry Jamaluddin.

Usai persembahan taklimat, Seri Paduka Baginda turut berkenan melawat Pusat Kawalan PRABN.

Lawatan Seri Paduka Baginda itu menarik perhatian seluruh negara kerana khabar angin mengenai pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin kuat diperkatakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, dijadualkan menghadap Seri Paduka di Istana Negara pada pukul 4 petang ini.

Walaupun desakan supaya PRU-15 semakin kuat kedengaran, namun ada pihak membantah cadangan pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat ini, berikutan kebimbangan terhadap banjir yang dijangka melanda ketika musim tengkujuh tahun ini bermula November.

Perikatan Nasional dilapor telah mengutus surat kepada Seri Paduka Baginda bagi menyatakan pendirian menolak diadakan PRU-15 tahun ini bagi memberi tumpuan menghadapi banjir.

Turut menolak diadakan PRU-15 tahun ini ialah Pakatan Harapan. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan