KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan tindakan mana-mana pihak menolak Bajet 2023 boleh dianggap seperti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Oleh itu, kata beliau, lebih baik diserahkan sahaja mandat kembali kepada rakyat agar sebuah kerajaan mutlak bermandat dapat diperolehi.
“Dengan demikian, ia sekaligus mengembalikan kepercayaan dan keyakinan pelabur bagi memastikan ekonomi negara dapat dipacu dengan stabil demi kemakmuran rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P. Waytha Moorthy yang menjangka Ahli-ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menyokong Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober ini.
Waytha Moorthy membuat andaian Bersatu tidak mempunyai keyakinan terhadap kerajaan pimpinan Ismail Sabri ekoran pengisytiharan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang menganggap Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama PN.
Perkara itu juga dipersoalkan kembali Asyraf Wajdi yang melihat apakah amalan ugut-mengugut seperti ini mampu memberikan persepsi dan sentimen positif kepada pemain-pemain industri dan pelabur dalam dan luar negara.
Katanya, benar PN menyumbang 39 peratus berbanding BN hanya 34 peratus dalam Kerajaan hari ini.
“Menolak Bajet samalah seperti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri,” katanya. – Edisi 9