32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Tiada rundingan rasmi antara Pas dan UMNO – Pengerusi PN

Pas juga mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti anggota dalam PN

Mesti Baca

PERIKATAN Nasional (PN) mengesahkan tiada rundingan rasmi dibuat antara parti gabungannya, Pas dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, yang ada hanyalah perbincangan tidak rasmi dan tidak melibatkan pucuk pimpinan parti.

Beliau berkata, Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat malam tadi mengambil maklum penjelasan Pas tersebut dan tiada apa-apa kemajuan dicapai daripada perbincangan itu.

Ini kerana, menurut Muhyiddin, UMNO telah membuat pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pas dalam PRU-15 nanti.

“Pas juga mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti anggota dalam Perikatan Nasional,” kata Muhyiddin dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin mendakwa wujud rundingan sulit membabitkan pemimpin tertentu dalam UMNO dan Pas menyentuh keperluan satu lawan satu antara mereka dan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15 akan datang.

Hashim berkata, partinya mahu UMNO tahu bahawa musuh utama pada PRU-15 kelak adalah PH dan bukannya Bersatu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Naib Presiden UMNO menjelaskan bahawa setiap rundingan yang melibatkan UMNO hanya akan dianggap sah apabila ia diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Beliau berkata, sebarang rundingan perlu dijalankan secara ‘terang’ dan mengikut dasar parti.

“Parti mesti memutuskan siapa wakil parti yang sah untuk berunding dan sebagainya. Kalau pergi sendiri-sendiri tidak boleh dianggap sebagai mewakili parti.

“Apa pun rundingan yang nak dijalankan mesti secara rasmi dan diputuskan UMNO sendiri… kalau rundingan-rundingan lain tu mungkin pertemuan yang dianggap tidak rasmi, tidak akan menjadi keputusanlah kepada UMNO,” katanya.

Sementara Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN akan memberi tumpuan kepada usaha membela nasib rakyat khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah dalam menghadapi kesan inflasi dan keadaan ekonomi yang diunjur tidak bertambah baik.

Katanya, mesyuarat mengambil maklum bahawa kumpulan B40 telah meningkat menjadi kumpulan B60 dan penyediaan bantuan bagi kumpulan pendapatan terkebawah ini mesti diberikan tumpuan oleh Kerajaan.

“Bagi membantu meringankan beban kumpulan ini, PN mengarahkan seluruh jentera parti di semua peringkat agar melaksanakan program Prihatin Rakyat di seluruh negara bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” kata bekas Perdana Menteri itu.

Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi juga, parti itu telah meluluskan pelantikan Ketua-Ketua Kawasan bagi negeri Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan