30.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 27, 2022

Perdana Menteri ketuai delegasi Malaysia ke UNGA ke-77

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, di New York.

Beliau akan menyertai pemimpin dunia dari lebih 150 negara yang mula tiba di bandar itu semalam, selepas pandemik COVID-19 membuatkan mereka terpaksa berucap pada perhimpunan tahunan itu secara maya sejak dua tahun lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, tema sesi ke-77 itu, ‘Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait’, adalah tepat pada masanya dan membolehkan negara anggota memanfaatkan platform pelbagai hala itu untuk menangani isu yang dihadapi dunia.

“Perhimpunan ini sentiasa memberi penekanan terhadap komitmen kolektif yang dibuat pemimpin dunia untuk menangani cabaran pandemik COVID-19, konflik Rusia-Ukraine dan perubahan iklim,” katanya kepada media Malaysia di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Saifuddin berkata, sesi ini akan menjadi penampilan kedua perdana menteri di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selepas menghadiri secara maya Sesi ke-76 tahun lepas berikutan pandemik COVID-19.

Baca juga:   Maritim Malaysia perketat kawalan perairan menjelang Aidilfitri

Antara pemimpin yang berucap di UNGA pada Selasa ialah Presiden Brazil Jair Bolsonaro, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Presiden Perancis Emmanuel Macron, manakala Presiden Amerika Syarikat Joe Biden akan berucap pada Rabu.

Menurut Saifuddin, Perdana Menteri yang dijadualkan tiba pada Khamis untuk lawatan tiga hari, akan menyampaikan Kenyataan Negara semasa sesi Debat Umum pada Jumaat dalam bahasa Melayu, iaitu inisiatif beliau sendiri untuk mempromosikan bahasa Melayu di pentas antarabangsa seperti PBB.

Baca juga:   Malaysia dijangka tarik pelaburan baharu RM14.62 bilion dari AS

Saifuddin berkata, Ismail Sabri dijangka berkongsi dalam ucapannya, beberapa pengalaman Malaysia dalam menangani pandemik dan cabaran global, serta mengetengahkan beberapa penyelesaian kepada konflik global seperti situasi di Ukraine, Palestin dan Myanmar.

“Perdana Menteri juga akan menggariskan kepentingan konsep kewujudan bersama secara aman dalam menyelesaikan pertikaian secara aman bagi mewujudkan sebuah keluarga negara,” katanya.

Pada acara luar UNGA, Perdana Menteri dijadualkan bertemu Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Jumaat dan kedua-dua pemimpin akan menyaksikan majlis menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dengan Palestin, iaitu mengenai Penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama, Kerjasama dalam Bidang Kesihatan, Pelancongan dan Hal Ehwal Islam.

Beliau juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada Khamis dan rakan sejawatannya dari Belanda Mark Ruttel pada Jumaat.

Saifuddin berkata, buat kali pertama, delegasi rasmi Malaysia ke UNGA turut terdiri daripada dua wakil belia sebagai sebahagian daripada langkah PBB untuk memperkasa belia.

Baca juga:   PPN bawa sinar terang di hujung terowong

Perdana Menteri juga akan menjadi hos majlis makan malam ‘Keluarga Malaysia’ untuk diaspora Malaysia di New York. – BERNAMA

Terkini

5 inisiatif khas, tingkat perkhidmatan, kemudahan kesihatan ATM

KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) telah memuktamadkan lima inisiatif khas untuk warganya bagi meningkatkan tahap perkhidmatan serta kemudahan kesihatan Angkatan Tentera...

Lagi Artikel Berkaitan