30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Penerima Peranti Siswa tidak perlu pulangkan kembali tablet – PM

Keputusan itu susulan maklum balas pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos lepas.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa penerima Peranti Siswa Keluarga Malaysia tidak perlu memulangkan tablet yang diterima seperti mana yang ditetapkan sebelum ini.

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu dibuat susulan maklum balas daripada pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos lepas.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan menetapkan Inisiatif Peranti Siswa itu diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP) yang mana mahasiswa perlu memulangkannya selepas tamat pengajian.

“Namun atas maklum balas yang memberangsangkan semasa sesi pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos lalu, terdapat cadangan supaya Peranti Siswa ini diberikan secara terus kepada mahasiswa yang mendapat keputusan cemerlang.

“Sukacita saya mengumumkan, bahawa kerajaan bersetuju untuk memberikan terus tablet berjenama ini kepada penerima Peranti Siswa. Jadi tidak perlu pinjam tidak perlu pulang balik. Kerajaan beri terus kepada penerima,” katanya.

Perdana Menteri mengumumkan perkara itu ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam, hari ini.

Pakej Peranti Siswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi (IPT).

Advertisements

Tablet jenama Samsung telah dipilih sebagai pemenang tender bagi program berkenaan untuk membekalkan peranti itu mengikut lima zon iaitu Zon Sabah dan Sarawak, Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh pendaftaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia, bertujuan untuk memastikan lebih ramai golongan pelajar dan remaja memperoleh akses Internet untuk pembelajaran talian dari rumah tanpa kekangan data.

“Pakej prabayar mampu milik khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah ini, telah diperkenalkan bermula bulan Oktober 2021 pada asalnya dijadual akan tamat pada bulan Oktober tahun ini.

“Keputusan pemanjangan tempoh ini diharapkan memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan pelajar untuk melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mudah alih,” katanya lagi.

Ismail Sabri berkata, Kerajaan akan memperluaskan penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia ke kampus-kampus pengajian tinggi bagi memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara.

Beliau berkata, penganjuran program di kampus itu, diyakini dapat mengurangkan beban mahasiswa terhadap tekanan harga barangan yang tinggi.

“Diharapkan juga dengan inisiatif-inisiatif daripada pihak Kerajaan ini, kita sebagai Keluarga Malaysia akan terus teguh bersama serta mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya lagi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan