33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Malaysia bakal jadi pusat `micro-credentials’ global – MQA

AI bakal menjadi inisiatif pertama di dunia menerusi konsep konsortium dengan menawarkan program `micro-credentials’ berskala besar.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA bakal menjadi pangkalan bagi konsortium program `micro-credentials’ terbesar dunia di bawah naungan Association of Southeast Asian Institutions of Higher Learning (ASAIHL) Institute (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, agenda penubuhan AI ialah untuk membenarkan institusi di bawah ASAIHL untuk menawarkan program `micro-credentials’ dengan mendaftarkan semua program kursus pendek berkenaan di bawah kendalian AI.

Katanya, terdapat ratusan program `micro-credentials’ di bawah AI untuk ditawarkan kepada masyarakat di seluruh dunia yang berminat untuk mengikutinya berdasarkan program ditawarkan lebih 200 institusi pengajian tinggi (IPT) yang bernaung di bawah ASAIHL.

“Contohnya, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga anggota ASAIHL mendaftarkan 10 program `micro-credentials’ dan satu daripadanya ialah pengurusan alam sekitar, justeru perincian mengenai program berkenaan termasuk tempoh pengajian dan yuran kursus akan tertera dalam sistem AI nanti.

“Selepas pelajar mendaftarkan diri untuk mengikut kursus `micro-credentials’ pengurusan alam sekitar UPM berkenaan, dia akan mengikuti pengajian dengan tenaga pengajar universiti itu,” katanya selepas membentangkan cadangan penubuhan AI pada Persidangan ASAIHL 2022 di University of Warsaw, hari ini.

Hadir sama, Penasihat  ASAIHL, Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim; Presidennya, Prof. Dr. Yoshihisa Baba; Naib Presiden, Prof. Dr. Mohammad Nasih; Setiausaha Agungnya, Dr. Ninnat Olanvoravuth; Ahli Lembaga Pengarah ASAIHL, Prof. Dr. Bundhit Eua-arporn (Thailand); Prof. Dr. Alojzy Z. Nowak (Poland), Prof. Jean-Marc Lavest (Vietnam); Dr. Michel Eddi (Perancis); Prof. Madya Seiha Diep (Kemboja) dan Fr. Marcelo V. Manimtim (Filipina).

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Ahli Lembaga Pengarah ASAIHL dan wakil tunggal dari Malaysia berkata, AI bakal menjadi inisiatif pertama seumpamanya di dunia yang dilaksanakan menerusi konsep konsortium dengan menawarkan program `micro-credentials’ berskala besar.

Paling penting, katanya,  ia akan diletakkan di Malaysia yang mana Asia e University akan diberi mandat untuk menguruskan dan mempromosi semua program di bawah jaringan AI ini di serata dunia.

“Diharap perkara ini akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat dan secara langsung atau tidak langsung akan mampu akan membantu hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad untuk mengangkat martabat `micro-credentials’ Malaysia di persada antarabangsa.

“Inisiatif ini seterusnya akan membantu menjadikan Malaysia dalam usaha untuk menjadi hab pendidikan global,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Dewan Rakyat lulus RUU Pindaan AUKU 2023

DEWAN Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2023 setelah dibacakan buat...

Lagi Artikel Berkaitan