36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Fasiliti di Klinik Kesihatan Dengkil ditambah baik

Bangunan tambahan adalah untuk jangka pendek manakala permohonan klinik kesihatan baharu akan dibuat.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan bersetuju menambah baik fasiliti di Klinik Kesihatan Dengkil di Sepang, Selangor bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di daerah itu pada masa depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, antaranya menambah bangunan baharu serta peralatannya.

Beliau berkata, walaupun klinik tersebut telah memberikan perkhidmatan yang terbaik namun keadaan di klinik tersebut masih sesak dan pesakit perlu menunggu lama untuk berjumpa doktor selain kekurangan tempat letak kereta.

“Walaupun perkhidmatan diberi baik tetapi kawasan sesak, waktu menunggu lama dan parking tak cukup.

“Saya telah meluluskan segera penambahan bangunan untuk klinik ibu dan anak, mesin ultrasound dan biochem.

klinik kesihatan dengkil
Khairy Jamaluddin bertanya sesuatu dengan pesakit yang menunggu giliran di Klinik Kesihatan Dengkil, Sepang, Selangor.

“Banyak pelaburan diperlukan untuk meningkatkan kesihatan primer,” katanya melalui ciapan di Twitter.

Sebelum itu Khairy mengadakan lawatan mengejut ke Klinik Kesihatan Dengkil bagi melihat sendiri pengoperasian klinik tersebut.

Beliau berkata, kelulusan pembinaan bangunan tambahan itu untuk penyelesaian jangka pendek kerana pada masa yang sama pihaknya akan memohon agar dibangunkan sebuah klinik yang baharu di Dengkil.

Selain itu, beliau turut menyatakan bersetuju dengan cadangan bahawa Dengkil memerlukan klinik kesihatan yang baharu.

Sementara itu beliau berkata, warga Cyberjaya dijangka akan menerima berita yang dalam masa seminggu dua lagi.

Walaupun beliau tidak menyatakan perkara tersebut, namun dipercayai ia berkaitan dengan Hospital Cyberjaya yang bakal beroperasi tidak lama lagi.

Sebelum ini, UMNO Cawangan Bandar Cyberjaya membantah cadangan kerajaan menyerahkan Hospital Cyberjaya yang kini siap dibina menggunakan dana awam, kepada pihak swasta.

Timbalan Ketua Cawangannya, Dr Aziemah Maryam Abdu Manaf berkata, ini kerana ia satu-satunya hospital kerajaan yang ada di daerah Sepang yang sebahagian besar penduduknya adalah golongan B40 dan M40.

Menurutnya, pembinaan hospital tersebut atas keperluan terdesak penduduk tempatan kerana hospital yang terdekat adalah Hospital Putrajaya, Serdang dan Banting, malah ada yang terpaksa mendapatkan rawatan sehingga ke Seremban.

“Hospital Cyberjaya dibina menggunakan dana awam yang patut beroperasi sepenuhnya sebagai hospital kerajaan, dan bukannya secara swasta atau hibrid.

“Keputusan yang tidak memihak kepada kepentingan rakyat dilihat bercanggah dengan tujuan asal penggunaan dana awam,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan