32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kerajaan salur RM7.15 bilion kepada PKS di bawah TRRF

Saiz pembiayaan sehingga RM500,000 bagi setiap PKS dan RM75,000 bagi perusahaan mikro dengan kadar faedah sehingga 3.5 peratus setahun

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9


KERAJAAN telah menyalurkan sejumlah RM7.150 bilion kepada sebanyak 26,119 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) setakat 6 Julai 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sejumlah 41,978 permohonan telah diterima setakat tempoh tersebut dan kemudahan pinjaman bernilai RM6 bilion ini telah ditambah menjadi RM8 bilion bagi membantu kalangan PKS yang terjejas dalam sektor perkhidmatan.

Jelas beliau, di bawah TRRF yang dipertingkat, PKS boleh menggunakan sehingga 30 peratus daripada pembiayaan yang diluluskan untuk membayar balik pembiayaan perniagaan (pembiayaan semula) sedia ada.

“Saiz pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga RM500,000 bagi setiap PKS manakala RM75,000 bagi perusahaan mikro dengan kadar faedah sehingga 3.5 peratus setahun termasuk fi jaminan.

“Tempoh bayaran balik pembiayaan ini adalah sehingga tujuh tahun berserta moratorium sekurang-kurangnya selama enam bulan,” katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat Ke-109 yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kemudahan yang ditawarkan pada kadar sehingga 3.5 peratus setahun ini tersedia melalui institusi kewangan peserta dengan perlindungan jaminan oleh pihak Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

“Kemudahan tersebut tersedia hingga 30 Jun, 2022 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya.

Selain itu, beliau berkata, bagi menyokong matlamat kerajaan dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050, PKS juga digalakkan untuk menerapkan amalan kelestarian bagi meningkatkan daya tahan perniagaan masing-masing.

“Kemudahan Peralihan Rendah Karbon merupakan satu kemudahan pembiayaan yang diperuntukkan bermula dari 3 Feb, 2022 dan boleh dipohon sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya iaitu sebanyak RM1 bilion di bawah strategi inisiatif 1, Amalan Rendah Karbon dalam Bajet 2022.

“Setakat 6 Julai 2022, sebanyak 26 syarikat PKS telah memohon bagi kemudahan ini dengan sejumlah RM11.713 juta telah diluluskan bagi 12 PKS,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, permohonan PKS itu mewakili semua sektor yang komited untuk beralih ke arah operasi perniagaan rendah karbon dan lestari.

Beliau berkata, amalan kelestarian ini termasuk namun tidak terhad kepada aktiviti seperti mendapatkan pensijilan kelestarian, meningkatkan penggunaan bahan yang diakui lestari dalam aktiviti pengeluaran, menambah baik kecekapan tenaga bangunan dan peralatan selain memasang peralatan jana kuasa tenaga boleh baharu di premis masing-masing.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh di laman sesawang https://www.bnm.gov.my/ – BERNAMA

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan