30.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 27, 2022

Isu beg berat: Lokar sekolah dipasang akhir bulan ini

Fasa pertama pemasangan lokar tersebut akan membabitkan sekolah yang mempunyai dua sesi, dengan melibatkan pelajar Tahun 1 dan 2.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BERITA baik bagi murid-murid di sekolah rendah di seluruh negara kerana proses pemasangan lokar dijangka dimulakan pada akhir bulan ini bagi mengatasi isu beg berat dalam kalangan mereka.

Makluman itu disampaikan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin yang berkata, fasa pertama pemasangan lokar tersebut akan membabitkan sekolah yang mempunyai dua sesi, dengan melibatkan pelajar Tahun 1 dan 2 terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Radzi berkata jumlah sekolah terlibat dengan pemasangan lokar itu akan diumumkan kelak.

“Untuk lokar bagi fasa satu ini kita akan laksanakan untuk sekolah yang dua sesi, untuk murid Tahap Satu. Tetapi fasa ini kita buat untuk murid tahun satu dan tahun dua (dulu).

“Insya-Allah kita akan mula pasang lokar-lokar di sekolah pada penghujung bulan.

Baca juga:   Rentas negeri jumpa anak, pasangan jika dos vaksin lengkap

“Jadi pada bulan Oktober, kita cuba ikhtiarkan semua perolehan itu telah sampai ke sekolah, dan semuanya dipasang,” katanya selepas Majlis Libat Urus Bersama Editor Kanan di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan untuk menyediakan lokar di 10,662 kelas di sekolah rendah terlibat dalam usaha menangani isu beg berat dihadapi murid.

Pelaksanaannya bakal melibatkan seramai 323,186 murid dengan peruntukan bagi Fasa 1 dijadualkan bermula 2022 dianggarkan berjumlah RM37.3 juta.

Fasa 2 penyediaan lokar pula akan diperluas kepada murid Tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah beroperasi secara dua sesi serta dijangka dilaksanakan pada 2023.

Baca juga:   38 iklan jual minyak masak secara 'online' ditutup - KPDNHEP

Sementara itu, Radzi berkata, pihaknya akan meneliti permohonan sekolah-sekolah yang memohon bangunan tambahan ekoran tidak dapat menampung jumlah murid.

Beliau berkata, ini kerana ada sesetengah sekolah yang membuat permohonan itu sebenarnya mempunyai sekolah-sekolah berhampiran yang masih kosong.

Katanya, keadaan ini berlaku kerana ibu bapa cenderung untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah tertentu, dan bukannya paling hampir dengan rumah.

“Jadi selepas ini kita akan menambah baik dari segi kemudahan dan guru-guru cemerlang di sekolah-sekolah berhampiran bagi memastikan kesemua sekolah adalah terbaik, bukan hanya sekolah-sekolah tertentu sahaja,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Polis cedera ditetak penagih di Shah Alam

SEORANG pegawai polis parah di tangan, manakala seorang lagi anggota cedera selepas ditetak seorang penagih dadah dalam kejadian di...

Lagi Artikel Berkaitan