26.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 29, 2022

CEO GLC, GLIC, ahli-ahli badan kehakiman kena isytihar harta

Mesti Baca

Lukman Ismail
Editor Edisi 9

SEMUA Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat berkaitab kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, selain CEO-CEO syarikat GLC dan GLIC, ahli-ahli badan kehakiman juga diminta untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

“Perincian kod etika baharu ini akan dibentangkan semula oleh SPRM dalam mesyuarat JKKMAR akan datang,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) di Putrajaya hari ini.

Mengenai penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Sumbangan Politik, beliau berkata, ia akan dikawal selia oleh sebuah entiti bebas dikenali sebagai Pengawal Selia Sumbangan Politik di peringkat Persekutuan dan negeri.

Menurut Perdana Menteri, pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan termasuk parti-parti politik turut diambil kira berkaitan perincian RUU tersebut sebelum dibentang untuk bacaan pertama semasa Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat akan datang.

Baca juga:   KLIA dinobat penyedia perkhidmatan terbaik dunia

Beliau berkata, mekanisme pengisytiharan harta anggota pentadbiran, ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara oleh SPRM juga akan diperkukuhkan bagi memantapkan kredibiliti dan integriti pentadbiran Kerajaan.

“Pindaan dan penambahbaikan Kod Etika Bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen sedia ada akan dilaksanakan. Satu kod etika baharu akan turut diperkenalkan untuk Ahli Parlimen dalam Akta 347 dengan mengambil kira pengekalan prinsip pengasingan kuasa badan eksekutif dan legislatif,” kata beliau.

Baca juga:   Dua beradik direman, disyaki buat bayaran palsu RM23 juta

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga membuat ketetapan untuk melaksanakan penilaian semula hala tuju Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan peruntukan geran tahunan yang tetap melalui GIACC bagi tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga 2025, bagi tujuan pelaksanaan program pemantapan dan pengukuhan integriti di Malaysia.

Kata beliau, peranan IIM akan diperkukuhkan berdasarkan tiga fungsi teras utama merangkumi aspek Pendidikan, Advokasi dan Latihan, Penyelidikan dan Penerbitan serta Kerjasama Strategik.

IIM juga, jelas Perdana Menteri, akan diberi peranan melaksanakan Model Perniagaan secara hibrid untuk membantu mengukuhkan integriti sektor awam dan swasta,” katanya.

“Kerajaan sentiasa komited memantapkan nilai integriti dan memastikan ketelusan tadbir urus negara dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pensyarah UiTM buat gangguan seksual ditamatkan perkhidmatan

SEORANG pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap bekas penuntutnya sebelum ini telah ditamatkan perkhidmatannya...

Lagi Artikel Berkaitan