KEMENTERIAN Pertahanan mencadangkan kenaikan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di bawah Kategori B40 daripada RM300 kepada RM400.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan keperluan menampung perbelanjaan seharian golongan berkenaan.
Menurutnya, pihaknya juga telah menyelesaikan kajian dalaman bagi membolehkan pemberian Elaun Kenangan kepada Penerima Pingat Jasa Malaysia.
“Ini bermakna bahawa, antara kemahuan veteran ATM, dua sudah selesai dipenuhi, manakala dua lagi perkara selesai kajian di peringkat kementerian dan ia tidak akan terhenti di sini.
“Mindef sentiasa berusaha bertungkus-lumus demi membela kebajikan veteran ATM. Perkembangan dan hasil usaha ini akan saya umumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hishammuddin bagaimanapun mengingatkan bahawa kemahuan veteran ATM tidak hanya membabitkan perancangan di peringkat kementerian, malah membabitkan kewangan yang memerlukan pertimbangan MOF dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Maka saya akan terus berhubung dengan Menteri Kewangan dan Ketua Pengarah JPA dari semasa ke semasa bagi memastikan harapan kita ini dapat dipenuhi.
“Juga penting untuk saya ingatkan, bagi veteran ATM yang belum mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), segeralah mendaftar supaya setiap inisiatif dan bantuan yang dilaksanakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
-EDISI9