LEBIH 7,000 jemaah menyertai program Munajat Keluarga Malaysia di Masjid Putra di Putrajaya, malam ini sempena ulang tahun pertama pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu dipimpin pendakwah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid serta disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan TV AlHijrah bermula jam 9 malam.
Munajat Keluarga Malaysia dijalankan serentak di lima lokasi selain di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, iaitu di Kedah, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri yang berbaju Melayu putih tiba di pekarangan masjid pada jam 8.20 malam dan disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Perdana Menteri kemudian menyertai jemaah menunaikan solat Isyak dengan sesi bacaan doa dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Pada program itu, Ismail Sabri turut menyampaikan sumbangan kepada 20 pusat tahfiz, institusi pengajian pondok, premis kebajikan dan rumah anak yatim tertentu yang hadir menyertai acara itu.
Dengan tema Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia – Teguh Bersama, Munajat Keluarga Malaysia mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Putrajaya.
Sementara itu Idris berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang genap setahun pentadbirannya hari ini sememangnya proaktif dalam membantu rakyat menerusi program berorientasikan rakyat.
Beliau berkata, dengan cabaran pandemik yang melanda negara, program turun padang giat dilaksanakan bagi menyantuni rakyat yang memerlukan.
“Alhamdulillah selepas setahun penekanan yang diberikan kebetulan waktu Ismail Sabri naik, pandemik masih lagi kemuncak maka seluruh agensi, kementerian diarahkan untuk memastikan supaya kita dapat menyantuni rakyat terutamanya golongan B40.
“Sebanyak 14 agensi di bawah saya turut menyahut seruan itu dan boleh katakan setiap minggu kita mengadakan program sumbangan yang merangkumi seluruh negara,” katanya.
-EDISI9