25.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Bekas Panglima TLDM berdepan tiga tuduhan pecah amanah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BEKAS Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berkaitan dana syarikat pembuat kapal, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS).

Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Pengarah Urusan BNS, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga-tiga pertuduhan dan minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama yang disediakan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib, Ahmad Ramli didakwa meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140.00 kepada akaun Syarikat Setaria Holding Limited di Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapore 049909, antara 9 April hingga 4 Mei 2011.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716.00 ke akaun Syarikat JSD Corporation Pte Ltd nombor 503-027963-201 di The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, 65 Chulia Street, OCBC Centre, Singapore 049513, antara 19 April hingga 4 Mei 2011.

Bagi pertuduhan ketiga, Ahmad Ramli didakwa meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295.00 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd. nombor 017-0283-860 USD di Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapore 049909, antara 28 Oktober hingga 22 November 2020.

Dia didakwa meluluskan pembayaran untuk ketiga-tiga transaksi tersebut tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS, menjadikan ia satu kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan, Ahmad Ramli boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun, tidak melebihi 20 tahun, dengan sebatan.

Di bawah akta tersebut, dia juga boleh dikenakan denda.

Ahmad Ramli diwakili bekas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang pernah terlibat dengan pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Hakim Suzana Hussain menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 November ini, manakala wang jaminan ditetapkan pada kadar RM500,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Selain itu, beliau turut mengarahkan pasport milik Ahmad Ramli diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan. – BERNAMA

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan